KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memberi perhatian terhadap isu graduan yang memperoleh pekerjaan tidak setimpal atau tidak selaras dengan kelayakan bidang pengajian mereka.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu selaras dengan Dasar Pendidikan Tinggi Negara 2026-2035 yang memberi perhatian terhadap kedudukan graduan selepas menamatkan pengajian di universiti.
“Kerajaan akan memberikan perhatian soal yang disebut sebagai underemployment, sebagai contoh mereka mempunyai ijazah tetapi dari segi peluang pekerjaan itu tidak selaras dengan bidang mereka.
“Langkah-langkah akan terus dilakukan kerana seperti yang kita sedia maklum, setiap tahun ribuan pelajar keluar dalam bidang masing-masing dan kita perlu melihat keperluan dalam pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di ibu negara, hari ini.
Zambry berkata, usaha memastikan graduan memperoleh pekerjaan bersesuaian tidak boleh dilaksanakan KPT secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama beberapa kementerian.
Katanya, antara yang memainkan peranan utama ialah KPT, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia.
“Tiga kementerian utama ini perlu mempunyai kerjasama yang baik dan alhamdulillah, kerjasama di peringkat kementerian berjalan bagi memastikan mereka yang keluar daripada universiti dan politeknik dapat kita selaraskan bidang pekerjaan dengan kelayakan mereka,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Zambry supaya memperkukuh laluan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan.
Perkara itu susulan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan kira-kira 1.6 juta graduan atau 32.2 peratus bekerja di bawah tahap kelayakan.
Mengulas mengenai kemungkinan gaji graduan turut meningkat sekiranya berlaku kenaikan gaji permulaan, beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet. Perdana Menteri memberi perhatian khusus dan selaras dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan nanti, ia juga akan mengambil kira soal gaji graduan.
“Saya tidak boleh sebut berapa, tetapi biarlah Perdana Menteri yang mengumumkannya,” katanya. – UTUSAN











