Sekolah, badan pendidikan perlu lebih serius tangani isu buli - Utusan Malaysia

Sekolah, badan pendidikan perlu lebih serius tangani isu buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah dan badan pendidikan perlu menangani isu buli dengan lebih serius, termasuk memastikan setiap aduan yang diterima disiasat dan tindakan sewajarnya diambil segera bagi melindungi mangsa.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Daniel Khoo berkata, kes buli tidak seharusnya hanya diberi perhatian selepas keadaan menjadi lebih serius, sebaliknya langkah pencegahan dan intervensi perlu dimulakan sebaik sahaja terdapat aduan atau tanda-tanda berlakunya buli.

Katanya, sekolah perlu mempunyai mekanisme yang jelas bagi menerima, menyiasat dan mengendalikan aduan buli supaya kebajikan serta keselamatan mangsa tidak terabai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keselamatan anak-anak mesti diutamakan. Kami menggesa semua sekolah supaya segera menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang aduan sedemikian, bukannya menunggu sehingga keadaan bertambah teruk baharu bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Negeri Sembilan menjadi mangsa buli berulang kali sejak tahun lalu sehingga dilaporkan mengalami kecederaan dan trauma untuk kembali ke sekolah.

Dalam kes terbabit, bapa mangsa mendakwa anaknya dibelasah seorang rakan sekelas di dalam kelas yang berkunci pada 16 Mei 2025, dengan kejadian itu dikatakan disaksikan lima murid lain.

Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan pada keesokan harinya dan laporan perubatan menunjukkan terdapat bengkak serta lebam pada bahagian belakang badan dan kaki kanan, selain didiagnosis mengalami kecederaan tisu lembut akibat trauma hentaman.

Daniel berkata, keadaan itu menunjukkan kepentingan sekolah bukan sahaja memberi tumpuan kepada tindakan disiplin terhadap pelaku, malah memastikan mangsa mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.

Beliau turut menggesa jabatan pendidikan mempertimbangkan langkah memperkukuh aspek pemantauan keselamatan di sekolah, termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bersesuaian seperti bilik darjah dan koridor bagi membantu mencegah serta menyiasat insiden buli.

“Jika berlaku kejadian buli atau ancaman melalui internet dan telefon bimbit, ibu bapa juga perlu memastikan bukti seperti gambar kecederaan, laporan perubatan atau tangkapan skrin mesej disimpan supaya tindakan susulan dapat dibuat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN