KUALA LUMPUR: Pasaran kerja tempatan masih berdepan cabaran besar apabila kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran (skills-related underemployment) mencecah 35.2 peratus bagi tempoh sama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, situasi itu mencerminkan dua cabaran struktur utama dalam ekonomi negara yang menuntut perubahan drastik.
“Pertama, wujud ketidakpadanan antara kemahiran yang dihasilkan oleh sistem pendidikan kita dengan keperluan sebenar sektor industri.
“Kedua, ekonomi kita masih belum mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi yang mencukupi untuk graduan universiti,” katanya semasa menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Johari menegaskan bahawa pendekatan secara ‘biasa’ (business-as-usual) tidak lagi memadai untuk mendepani dinamik dan cabaran pasaran semasa.
Katanya justeru Malaysia perlu mengambil langkah jauh lebih bersungguh-sungguh dan berencana dalam merangka pembangunan industri tempatan.
“Pada masa sama, kawal selia aliran perdagangan antarabangsa perlu dilaksanakan secara lebih berwaspada, di samping mengambil pendekatan strategik semasa memeterai sebarang perjanjian dagangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johari berkata, pelaburan asing yang berjaya ditarik bakal membentuk struktur ekonomi negara pada masa hadapan, sekali gus menuntut tumpuan lebih besar terhadap kualiti pelaburan.
Menurut beliau, pelaburan berkualiti tinggi perlu mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dengan mengetengahkan teknologi baharu serta membuka laluan kerjaya bermakna bagi belia tanpa perlu berhijrah ke luar negara.
“Dalam bidang strategik di mana syarikat tempatan belum mempunyai keupayaan teknologi atau modal yang besar, pelabur asing dan rakan kongsi antarabangsa boleh memainkan peranan amat penting.
“Namun, pelaburan asing mestilah mengukuhkan, bukannya mengambil alih atau menjejaskan perniagaan sedia ada. Syarikat asing dan tempatan perlu wujud bersama serta saling melengkapi,” katanya. – UTUSAN











