KUALA LUMPUR: Usahawan kecil seperti ibu yang bekerja dari rumah, golongan muda, komuniti Orang Asli serta individu kreatif kini boleh memasarkan produk mereka melalui platform pasaran digital baharu iaitu DuitJe.
Ketua Perhubungan Awam dan Pemasaran, Amirah Abu Bakar berkata, DuitJe memberi tumpuan kepada produk kraftangan, hasil buatan tangan, produk kreatif dan barangan buatan sendiri, di samping menyediakan ruang kepada individu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk menjadikan kemahiran mereka sebagai satu bentuk perniagaan.
Antara perkhidmatan yang boleh diketengahkan melalui DuitJe termasuk perkhidmatan badut, perkhidmatan dalam talian, perkhidmatan acara, pengurusan acara serta pelbagai perkhidmatan kreatif dan kemahiran yang ditawarkan oleh individu dan perniagaan kecil.
“DuitJe diwujudkan untuk membantu rakyat Malaysia, khususnya peniaga-peniaga kecil, ibu yang bekerja dari rumah, golongan muda, komuniti Orang Asli serta mereka yang mempunyai bakat dan kreativiti. Kami mahu menyediakan satu ruang untuk mereka memperkenalkan dan menjual produk serta perkhidmatan mereka sendiri.
“Selain produk kraftangan dan hasil buatan tangan, kami juga membuka peluang kepada mereka yang menawarkan perkhidmatan seperti badut, perkhidmatan dalam talian, perkhidmatan acara dan pengurusan acara untuk menggunakan platform ini sebagai satu bentuk perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
BolehJe merupakan sebuah aplikasi yang menyediakan ruang kepada pengguna untuk meneroka pelbagai tawaran kerja sambulan, menyediakan beberapa jenis produk dan perkhidmatan, manakala DuitJe merupakan platform pasaran digital yang memberi peluang kepada penjual dan penyedia perkhidmatan untuk memasarkan tawaran mereka kepada pengguna.
Ia juga membawa pendekatan platform pasaran yang lebih terbuka dan menyeluruh dengan memberi peluang kepada penjual mengetengahkan produk, identiti, kreativiti dan kemahiran mereka kepada pelanggan melalui satu platform.
Katanya, platform ini juga diharapkan dapat membantu meningkatkan pengiktirafan terhadap produk tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha kecil dan komuniti kreatif untuk mengembangkan perniagaan dalam dunia digital.
“DuitJe bukan sekadar menyediakan ruang untuk menjual produk. Platform ini turut membuka peluang kepada individu yang mempunyai kemahiran tertentu untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Dengan pendekatan ini, kreativiti, kemahiran dan kepakaran seseorang boleh diketengahkan sebagai satu bentuk perniagaan,” -UTUSAN











