Wartawan faham etika, netizen perlu jaga adab

Wartawan faham etika, netizen perlu jaga adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK ada media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram, WhatsApp dan sealirannya, semua orang boleh menulis dan poskan pelbagai kata-kata baik yang memuji mahupun yang mengutuk atau menghentam. Sosial media kini menjadi platform untuk orang ramai atau lebih dikenali sebagai netizen meluahkan apa sahaja kata-kata berdasarkan dari cerita atau berita yang disiarkan dalam media sosial.

Tanpa mempedulikan atau memahami maksud sebenarnya cerita atau berita yang disiarkan dalam Tik Tok, Facebook atau Instagram, netizen terus menghukum berita tersebut dengan menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati. Bahkan lebih teruk dan buruk lagi perangai sesetengah netizen ini, menggambarkan pemberita sebagai binatang seperti dalam isu lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke pusara Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Pusara Negara, Persint 20, Putrajaya, kelmarin.

Sikap sesetengah netizen yang menggambarkan wartawan dan jurugambar sebagai lembu cukup kurang ajar dan adab. Mungkin mereka membesar tanpa didikan agama Islam yang mengajar seorang itu supaya berbudi bahasa, beradab, menghormati dan jangan menyinggung perasaan apatah lagi menyakiti orang lain. Betapa banyak dosa yang sesetengah netizen lakukan melalui kata-kata kesat yang dilontarkan dalam media sosial? Mengutuk, memfitnah, menghina orang sana sini.

Netizen perlu ingat, kita sebagai manusia perlu menjaga hubungan sesama manusia. Dalam ajaran Islam, kehidupan manusia tidak hanya berfokus pada hubungan dengan Allah, tetapi juga hubungan dengan sesama manusia (hablum minannas). Tidak sempurna iman seseorang jika tidak menjaga hubungan sesesama keluarga, jiran dan manusia lainnya.

Netizen juga perlu ingat dan faham tugas seorang wartawan. Tugas wartawan adalah mengumpul, menyiasat, menulis dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara tepat, adil dan beretika. Wartawan berperanan sebagai penghubung antara peristiwa yang berlaku dengan orang ramai.

Wartawan bukan sekadar melaporkan berita, tetapi faham etika dan turut memikul tanggungjawab besar untuk memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat, seimbang serta boleh dipercayai.

Sudah pasti kita semua memahami privasi seseorang terutama dalam soal kematian orang tersayang. Tiada niat langsung untuk mengusik privasi Tun Dr. Mahathir ketika beliau menziarahi pusara arwah isteri kesayangannya. Kita cukup memahami situasinya. Tetapi apa yang para wartawan lapor dan siarkan dalam online atau surat khabar, ia adalah untuk memberitahu kepada rakyat di kawasan pedalaman kampung, desa dan di luar Putrajaya mengenai situasi terkini bekas pemimpin nombor satu negara itu.

Tidak salah berkongsi kesedihan yang mengundang simpati dan doa-doa semua orang dari segenap penjuru bumi Malaysia untuk Tun Dr. Mahathir dan arwah isterinya.

Justeru, netizen yang berilmu dan cerdik pandai adalah netizen yang beradab, faham dan tidak mudah melatah dengan sesuatu berita yang disiarkan. Hanya netizen yang ‘bebal’ sahaja yang tidak memahami tugas golongan media dalam menjalankan tugas mereka demi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai tentang pelbagai isu semasa yang berlaku.

Imran Mohamad Nor, Pengarang Berita Utusan Malaysia- UTUSAN