KUALA LUMPUR: Pelbagai pakej haji, umrah dan pelancongan daripada 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bakal ditawarkan kepada orang ramai menerusi Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali kelima (KHUP5), bermula 9 Oktober ini.
Karnival anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA Malaysia itu berlangsung selama tiga hari sehingga 11 Oktober di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang.
Memasuki edisi kelima, KHUP5 menjadi platform sehenti untuk bakal jemaah mendapatkan maklumat secara terus daripada PJH yang dilantik TH bagi Musim Haji 1448H/2027M, sekali gus memberi ruang kepada mereka menilai pakej berdasarkan kemampuan, keperluan dan keselesaan masing-masing.
Pengarah Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, KHUP5 bukan sekadar menghimpunkan tawaran pakej haji, sebaliknya turut menjadi medan perkongsian ilmu, pengalaman dan maklumat bagi membantu masyarakat membuat persediaan ibadah dengan lebih baik.
“Pada masa sama, TH sentiasa mengingatkan masyarakat supaya memastikan segala urusan haji dibuat melalui saluran yang sah serta mematuhi ketetapan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, antara mesej utama yang diketengahkan menerusi KHUP5 ialah ‘Tiada Visa, Tiada Haji’, selaras dengan ketetapan Kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan jemaah memiliki visa haji yang sah untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Katanya, kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) hanya diberikan kepada jemaah yang memiliki visa haji yang sah, manakala mereka yang melanggar ketetapan itu boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang Arab Saudi.
“Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuk denda, penjara dan disenarai hitam daripada memasuki kawasan Tanah Suci untuk satu tempoh tertentu,” katanya.
Hisham berkata, penganjuran KHUP5 turut menjadi usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menggunakan visa yang sah, selain menggalakkan bakal jemaah meneliti setiap tawaran pakej haji bagi mengelak terpedaya dengan sindiket penipuan.

Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, KHUP5 memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan secara terus daripada PJH mengenai perkhidmatan serta pakej yang ditawarkan, termasuk pakej ekonomi, umrah dan pelancongan patuh syariah.
“KHUP5 memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai perkhidmatan, kemudahan dan nilai tambah yang ditawarkan oleh PJH sebelum membuat pilihan,” katanya.
Selain pameran pakej, KHUP5 turut menyajikan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk Bual Bicara dan Podcast TH berkaitan penipuan haji, Simulasi Haji Cilik, pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz interaktif serta cabutan bertuah.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan kemunculan istimewa BoBoiBoy selain menikmati persembahan kumpulan nasyid The Rayhan dan Rabbani serta penyanyi Ezad Lazim, di samping mengunjungi Bazar Karnival yang menawarkan pelbagai makanan, minuman dan barangan berkaitan haji serta umrah.
Dalam perkembangan sama, TH memperkenalkan Anugerah Pengelola Jemaah Haji (Anugerah PJH) pada tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, sumbangan dan kecemerlangan PJH dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai KHUP5 serta e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M menerusi laman rasmi khupmalaysia.com, selain digalakkan membuat prapendaftaran secara dalam talian bagi mendapatkan kemudahan laluan pantas (fast lane) ketika karnival berlangsung. – UTUSAN











