PETALING JAYA: Pengeluar tilam tempatan Getha memperluas penawaran produknya ke segmen perkahwinan menerusi koleksi With Love, Getha – Wedding & Celebration, yang bakal dilancarkan pada 14 Oktober ini di Gurney Plaza, George Town, Pulau Pinang.
Koleksi berkenaan diperkenalkan sebagai tilam perkahwinan pertama di Malaysia, dengan mengambil inspirasi daripada tradisi penyediaan katil pengantin atau an chuang dalam masyarakat Cina.
Menurut perancang perkahwinan, Stephanie Lau, penyediaan katil pengantin masih menjadi sebahagian daripada persiapan perkahwinan bagi sesetengah keluarga Cina walaupun cara pasangan moden meraikan perkahwinan semakin berubah.
Katanya, pengenalan tilam yang direka khusus untuk perkahwinan memberikan satu pendekatan moden terhadap tradisi berkenaan, yang selama ini lebih tertumpu kepada penyediaan katil dan kelengkapan rumah tangga.
“Dalam pengalaman saya selama 20 tahun, katil pengantin sentiasa menjadi sebahagian penting dalam perkahwinan Cina, tetapi saya tidak pernah melihat tilam yang dibuat khusus untuk tujuan itu,” katanya dalam kenyataan.
Koleksi With Love, Getha – Wedding & Celebration berasaskan rangkaian Transforme Miracle Latex, dengan mengekalkan teknologi tidur termasuk Miracle Latex, Graphite+ yang teradun dalam 100 peratus lateks asli, gentian kelapa getah, fabrik penyejuk semula jadi BioCool daripada gentian tebu serta teknologi Suprelle Cool Night.
Bagi versi khusus perkahwinan, reka bentuk tilam menampilkan kemasan merah pada bahagian sisi selain sulaman simbol double happiness (囍), yang lazim dikaitkan dengan perkahwinan masyarakat Cina.
Langkah itu mencerminkan usaha Getha mengembangkan fungsi tilam daripada sekadar produk keperluan rumah kepada produk yang turut dikaitkan dengan acara dan gaya hidup pengguna.
Menurut perancang perkahwinan Yana Azhar, perubahan gaya hidup dan kemodenan tidak semestinya menyebabkan pasangan meninggalkan adat tradisional, sebaliknya pasangan masa kini semakin mencari cara untuk menyesuaikan elemen tradisi dengan kehidupan moden.
Dalam masyarakat Cina, an chuang dikaitkan dengan harapan terhadap kebahagiaan, keharmonian, kemakmuran dan kesuburan dalam kehidupan berumah tangga.
Dengan pelancaran koleksi itu, Getha mengambil peluang daripada tradisi berkenaan untuk memperkenalkan produk khusus yang menggabungkan elemen budaya dengan teknologi tidur moden. – UTUSAN











