KUALA LUMPUR: Petugas media berkumpul di sekitar Institut Jantung Negara (IJN), di sini, susulan kemasukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk pemerhatian.
Wartawan, jurugambar dan jurukamera dilihat berada di kawasan berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan kesihatan negarawan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN sejak semalam untuk menjalani pemerhatian.
Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan, namun keputusan untuk memasukkan beliau ke IJN dibuat bagi membolehkannya diberi perhatian selepas pemergian Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohd Ali.
Dr Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi, 28 September lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.
Seorang lagi anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata, sebelum pemergian Dr. Hasmah, Dr. Mahathir berada di IJN untuk menemani Allahyarham sepanjang menerima rawatan.
Dr. Mahathir dan Dr. Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka. – UTUSAN











