Ramai kanak-kanak Korea Selatan guna telefon sebelum 2 tahun

Ramai kanak-kanak Korea Selatan guna telefon sebelum 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Lebih separuh kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Korea Selatan mula menggunakan telefon pintar sebelum mencapai usia dua tahun, menurut tinjauan kerajaan.

Tinjauan itu mendapati 37.18 peratus ibu bapa berkata anak mereka mula menggunakan telefon pintar ketika berusia 12 hingga 23 bulan, manakala 13.8 peratus lagi mula menggunakannya ketika berusia bawah setahun.

Secara keseluruhan, 50.98 peratus kanak-kanak yang dikaji mula menggunakan telefon pintar sebelum berusia dua tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laporan Mental Health Information and NCMH Data (MIND) yang diterbitkan pada Januari itu dijalankan oleh Institut Penyelidikan Kesihatan Mental, Pusat Kesihatan Mental Kebangsaan, dengan melibatkan ibu bapa kepada 400 kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun.

Kajian itu turut mendapati 23.66 peratus kanak-kanak mula menggunakan telefon pintar ketika berusia 24 hingga 35 bulan, diikuti 12.39 peratus pada usia 36 hingga 47 bulan dan 12.96 peratus pada usia 48 hingga 59 bulan.

Pada hari bekerja, 56.78 peratus kanak-kanak menggunakan telefon pintar kurang daripada sejam sehari.

Sementara itu, 32.74 peratus tidak menggunakan telefon pintar langsung, manakala 9.46 peratus menggunakannya antara satu hingga tiga jam sehari.

Laporan itu turut mendapati terdapat kaitan antara penggunaan telefon pintar dalam kalangan ibu dengan penggunaan peranti berkenaan oleh anak mereka.

Kanak-kanak yang ibunya berada dalam kumpulan berisiko tinggi cenderung mula menggunakan telefon pintar pada usia lebih muda berbanding kanak-kanak yang ibunya berada dalam kumpulan berisiko rendah.

Menurut laporan itu, anak kepada ibu dalam kumpulan berisiko tinggi mungkin mempunyai lebih banyak peluang menggunakan telefon pintar selain berdepan dengan kurang sekatan daripada ibu bapa.

Pakar secara umumnya mengesyorkan agar penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak kecil dihadkan.

Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan pada 2019 mengesyorkan kanak-kanak bawah dua tahun tidak didedahkan kepada masa skrin ketika tidak aktif, manakala kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun disarankan menggunakan skrin tidak lebih satu jam sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×