Mudahkan urusan waris mangsa banjir Nepal

Mudahkan urusan waris mangsa banjir Nepal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh disimpulkan terhadap pende­ritaan, kesedihan dan tekanan emosi yang perlu ditanggung oleh keluarga 55 rakyat Malaysia yang hilang dan masih belum ditemukan dalam tragedi banjir di Nepal.

Selepas lebih sebulan tanpa khabar berita, walaupun ada yang mengharapkan keajaiban, harapan kini sema­kin tipis. Keluarga mangsa mungkin terpaksa menerima hakikat sebenar dan memulakan fasa tindakan yang baharu, yang bukan lagi tentang mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian pada 26 Ogos lalu, lebih 1,400 orang maut dengan lebih 6,000 orang masih hilang. Daripada jumlah yang hilang itu, 636 adalah warga asing terma­suk 55 rakyat Malaysia itu manakala China melaporkan 261 warga asing masih tidak ditemukan di sebelah negara itu.

Justeru, sementara menunggu tindakan lanjut antara dua kerajaan berhubung status mereka yang hilang, keluarga perlu mula bertindak mengumpulkan semua maklumat peribadi, kewangan, insurans dan apa sahaja yang dirasakan perlu untuk dijadikan rujukan kerana fasa seterusnya akan mengambil masa yang panjang.

Paling utama, kerajaan perlu mewujudkan satu pa­sukan penyelaras khas yang boleh dihubungi oleh ke­luar­ga dan membantu dalam urusan dengan semua pihak berkuasa. Ini supaya mereka tidak perlu berurusan dengan semua jabatan kerajaan yang berkaitan terutama dalam soal perundangan, dokumentasi, pentadbiran dan mendapatkan perkembangan terkini dari Nepal.

Selain itu, bantuan kewangan, guaman, mendapatkan dokumen dan pengesahan, bantuan psikologi, urusan pendidikan untuk anak-anak mangsa juga perlu disegerakan. Dalam masa yang sama, kerajaan perlu meyakinkan ahli keluarga bahawa usaha tidak akan dihentikan walaupun Nepal memaklumkan akan menamatkan operasi mencari dan menyelamat dalam waktu terdekat dan beralih ke fasa pemulihan.

Bagi lebih memudahkan, dalam masa terdekat, kerajaan wajar memberikan satu status interim kepada waris terdekat mangsa supaya mereka boleh mengambil tindakan selanjutnya terutama urusan dengan majikan mangsa, institusi kewangan atau insurans.

Seandainya status sementara itu diberikan oleh kerajaan, bank mesti mengiktirafnya dan membenarkan waris kesemua 55 individu yang masih hilang itu mengakses akaun mangsa supaya urusan kewangan mereka boleh dilakukan.

Bank juga perlu mempertimbangkan permohonan moratorium penangguhan bayaran ansuran bulanan, tiada caj lewat dikenakan, tiada tindakan undang-undang, rampasan dan lelongan aset mangsa untuk satu tempoh masa yang difikirkan wajar dan sesuai.

Ini kerana proses seterusnya sehingga ke pengesahan akhir akan mengambil masa yang panjang dan keluarga tentunya berharap pihak bank memahami perkara tersebut.

Bukan sahaja ada akses kewangan tetapi juga supaya keluarga tidak kehilangan rumah atau kereta terutama jika mangsa yang hilang itu adalah pencari utama nafkah keluarga atau disenarai hitam yang akan menyulitkan lagi urusan mereka. Lagipun ia hanya melibatkan 55 individu sahaja.

Ismail Daud adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia

×