PETALING JAYA: Kesedihan seorang suami yang kehilangan teman hidup selama 70 tahun jelas terpancar pada wajah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengiringi jenazah isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, ke persemadian terakhir di Pusara Negara, di Putrahata hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu dilihat begitu sebak ketika talkin dibacakan selepas istiadat pengebumian Allahyarham, sehingga beliau dilihat ditenangkan oleh ahli keluarga terdekat yang berada di sekelilingnya.
Detik penuh emosi itu menjadi antara momen paling menyentuh hati dalam istiadat pengebumian pembesar negara berkenaan, tatkala Dr. Mahathir berdepan kehilangan insan yang berada di sisinya sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 1956.
Selama tujuh dekad, Dr. Siti Hasmah bukan sekadar isteri, tetapi teman hidup yang bersama-sama melalui pelbagai fasa kehidupan Mahathir, termasuk ketika beliau mula membina kerjaya sebagai doktor, menceburi politik dan akhirnya menerajui negara sebagai Perdana Menteri.
Pasangan itu berkahwin pada 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Hari ini, selepas perjalanan panjang yang dilalui bersama, Mahathir mengiringi jenazah insan yang menjadi pendamping hidupnya itu untuk kali terakhir.
Dr. Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, bersebelahan pusara Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. -UTUSAN











