KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian mudah alih tempatan, BeONE Mobile (BeONE) menyasarkan menambah bilangan ejen aktifnya kepada 10,000 orang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile, Ameen Amaendran berkata, syarikat kini mempunyai sekitar 3,000 ejen dan yakin momentum serta kesedaran jenama selepas pelancaran rasminya mampu memacu pertumbuhan sasaran berkenaan.
Beliau berkata, BeONE menawarkan struktur insentif berbeza dengan membayar komisen secara harian berbanding amalan industri lain yang mengambil masa hingga 45 hari, sekali gus memberi kelebihan pendapatan harian kepada rakan niaganya.
“Pendekatan ini memberi faedah pendapatan berterusan kepada ejen sepanjang pelanggan kekal bersama rangkaian BeONE, malah insentif ini boleh diwarisi jika ejen bersara atau meninggal dunia.
“Program keusahawanan ini turut menyasarkan komuniti e-hailing, pekerja gig, peniaga kecil dan isi rumah B40 untuk menjana pendapatan sampingan tanpa perlu meninggalkan pekerjaan utama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rasmi BeONE Mobile di sini, yang turut melancarkan Program Keusahawanan BeONE untuk Komuniti E-Hailing dan Inisiatif SIM Komuniti bermula di Lembah Pantai.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng.
BeONE yang menggunakan rangkaian Maxis di seluruh negara menyediakan latihan kemahiran digital praktikal serta aplikasi telefon pintar bagi membolehkan ejen mengendalikan perniagaan mikro tanpa memerlukan modal besar atau premis fizikal.
Sementara itu, Fahmi memuji usaha BeONE dalam mewujudkan bentuk keusahawanan baharu berasaskan digital yang dapat membantu masyarakat setempat meningkatkan taraf ekonomi.
“Saya memuji usaha ini yang membuka bentuk keusahawanan baharu serta membolehkan rakyat melakukan perniagaan sampingan untuk memperoleh pendapatan tambahan.
“Saya berharap inisiatif seumpama ini dapat diperluaskan agar rakyat Malaysia, khususnya warga Lembah Pantai, dapat memanfaatkan capaian internet yang berkualiti pada kadar harga lebih bersesuaian,” katanya. – UTUSAN











