PUTRAJAYA: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah mengemukakan Cadangan Usul Belanjawan 2027 untuk pertimbangan Kerajaan, dengan memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan perbelanjaan perkhidmatan awam serta memperluaskan pendekatan korporatisasi dan kerjasama strategik bagi aktiviti komersial Kerajaan yang bersesuaian.
Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, cadangan tersebut mengangkat pendekatan reformasi yang menekankan nilai, produktiviti, kecekapan dan keberhasilan, supaya setiap ringgit perbelanjaan awam dapat memberikan impak yang lebih optimum kepada rakyat serta menyumbang kepada pengukuhan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.
Katanya, dua teras utama yang dicadangkan oleh DPIM untuk Belanjawan 2027 ialah pengoptimuman kos dan saiz perkhidmatan awam.
“DPIM mencadangkan supaya satu Kajian Nasional Pengoptimuman Perkhidmatan Awam dilaksanakan secara menyeluruh dengan menilai aspek saiz tenaga kerja, fungsi, produktiviti, kos dan keberhasilan.
“Pendekatan ini bukan sekadar melihat kepada jumlah penjawat awam, tetapi menilai sama ada struktur dan fungsi sedia ada benar-benar sepadan dengan kos yang ditanggung Kerajaan.
“Antara pendekatan yang dicadangkan termasuk mengenal pasti pertindihan fungsi, mengoptimumkan pengisian jawatan, memperluas digitalisasi, automasi dan kecerdasan buatan serta menilai semula fungsi sokongan yang boleh dikongsi atau dipusatkan. DPIM turut mencadangkan sasaran pengoptimuman kos secara berfasa untuk tempoh lima hingga 10 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Teras yang kedua kata beliau ialah pengkorporatan atau korporatisasi dan penswastaan terpilih aktiviti komersial kerajaan.
Mohammad Sahar berkata, DPIM mencadangkan supaya aktiviti yang bersifat komersial dinilai semula untuk menentukan kesesuaian dilaksanakan melalui model korporatisasi, usaha sama (JV), kerjasama awam-swasta (PPP), pelaburan strategik atau model komersial yang bersesuaian.
“Cadangan ini bukan bermaksud menswastakan semua agensi Kerajaan. Sebaliknya, fungsi strategik seperti penggubalan dasar, kawal selia, keselamatan, penguatkuasaan, kebajikan dan kepentingan awam perlu terus menjadi tanggungjawab Kerajaan, manakala aktiviti komersial yang bersesuaian boleh dinilai untuk penglibatan sektor swasta,” katanya.
Katanya, DPIM turut mengetengahkan pengalaman Malaysia dalam melaksanakan pendekatan korporatisasi, penswastaan dan konsesi sebelum ini sebagai asas untuk menilai semula model penyampaian perkhidmatan Kerajaan dalam konteks ekonomi digital dan teknologi semasa.
Sehubungan itu, kata beliau, DPIM mencadangkan pertimbangan terhadap satu “Gelombang Kedua” Korporatisasi dan Penswastaan yang tidak sekadar mengulangi pendekatan terdahulu, tetapi berasaskan prinsip nilai, kecekapan, teknologi, inovasi dan keupayaan menjana hasil secara kendiri.
“Antara bidang yang boleh dinilai termasuk pengurusan aset komersial, pembangunan hartanah, perkhidmatan sokongan, pengkomersialan teknologi dan R&D, pengurusan fasiliti serta perkhidmatan digital,” katanya.
Mohammad Sahar berkata, Kerajaan tidak perlu menjadi pengendali langsung bagi setiap aktiviti yang bersifat komersial sekiranya fungsi tersebut boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui struktur korporat atau kerjasama dengan sektor swasta.
“Melalui pendekatan ini, Kerajaan boleh terus mengekalkan dasar, kawal selia dan kepentingan strategik, manakala sektor swasta menyumbang dari aspek modal, teknologi, kepakaran, inovasi dan keupayaan komersial,” katanya.
Sementara untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang katanya, DPIM mencadangkan supaya pelaksanaan dilakukan secara berfasa dan berasaskan ukuran prestasi, termasuk penjimatan kos, peningkatan produktiviti, pengoptimuman aset serta nilai ekonomi yang dapat diwujudkan.
“Antara hasil yang disasarkan ialah pengoptimuman perbelanjaan mengurus, pengurangan pertindihan fungsi, penggunaan teknologi yang lebih meluas, penglibatan sektor swasta, pengoptimuman aset kerajaan dan pewujudan sumber hasil baharu melalui dividen, konsesi, sewaan serta perkongsian keuntungan.
“DPIM melihat cadangan ini sebagai satu sumbangan daripada komuniti perniagaan kepada agenda pengukuhan fiskal dan reformasi ekonomi negara.
“Cadangan ini diharapkan dapat menjadi input kepada Kerajaan dalam menilai semula struktur perbelanjaan, fungsi dan aset yang bersesuaian, di samping membuka ruang kepada sektor swasta untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam aktiviti ekonomi yang bersifat komersial,” katanya.











