SERANGAN daripada etnik bukan Melayu, yang kekadang ikut mendapat sokongan daripada segelintir etnik Melayu, tentang keberadaan Tanah atau Semenanjung Melayu, sebagai domisil etnik Melayu, bukan sahaja sangat salah. Juga ia amat provokatif.
Ia salah sekali kerana Tanah Melayu adalah memang domisil, yakni tempat tinggal tetap rasmi etnik Melayu semenjak sekian lama. Ia sudah pun wujud pada zaman purba lagi. Ini dicatatkan dalam beberapa rekod luar.
Antara di India dan China yang merujuk kepada domisil Melayu ini dengan menggunakan endonim etnik Melayu sendiri, iaitu panggilan Melayu dan bukan eksonim, yakni nama yang diberikan oleh pihak lain.
Ia amat provokatif sebab tanah tumpah darah etnik Melayu semenjak azali lagi mahu dipertikai tentang keabsahannya.
Ia menjadi sensitif sekali apabila pihak yang mahu mempertikainya adalah kelompok yang bukan sahaja mendatangi Tanah Melayu.
Juga yang diberikan kerakyatan oleh etnik Melayu agar dapat selanjutnya menetap di bumi Melayu ini, untuk terus menikmati kemakmuran yang terdapat di Tanah Melayu, setelah merasainya semasa penjajahan.
Sesungguhnya usaha untuk menidakkan apa-apa jua entiti Melayu, sama ada bahasa dan budaya Melayu, apatah lagi tanah air mereka, hendaklah segera dinoktahkan dengan tegas oleh pemerintah.
Ini kerana tindakan mencabar pada kali ini dengan mempertikai keberadaan tanah air mereka adalah sesungguhnya kejengkelan terakhir yang menguji kesabaran etnik Melayu.
Selama ini, etnik Melayu jarang bersikap agresif terhadap serangan terhadap entiti Melayu yang ditalakan oleh etnik bukan Melayu, antaranya Cina.
Antara serangan itu termasuklah nilai bahasa Melayu yang rendah untuk disanjungi etnik Cina, apabila mereka membandingkannya dengan yang ada pada bahasa Mandarin, apatah lagi bahasa Inggeris.
Sehubungan serangan ini, etnik Melayu masih boleh bersabar walaupun etnik Cina didapati begitu buta hati sebagai warganegara, untuk menghargai bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.
Dalam hal ini, bahasa Melayu yang amat penting dalam ranah kenegaraan, sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat, sama sekali gagal disedari walaupun menegaskan diri mereka sebagai warganegara yang patriotik.
Dalam pada ini, bahasa Melayu terus-terusan ditolak atas pelbagai alasan yang bukan sahaja remeh, juga bebal sifatnya.
Walaupun diakui kepentingannya secara retorik sahaja, tindak-tanduk etnik Cina secara umumnya jelas memperlihat mereka tidak pernah mahu menerima bahasa Melayu, walaupun dengan seadanya sebagai bahasa negara.
Lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa rasmi.
Begitu juga dengan banyak serangan lain. Antaranya adalah wujudnya diskriminasi etnik yang sistemik, melalui pelbagai dasar awam yang kononnya sangat menindas etnik bukan Melayu dari segenap segi.
Sehubungan dakwaan tidak berasas ini, ia masih boleh ditoleransikan oleh etnik Melayu, yang malas dalam erti tidak suka, berkonfrontasi dengan golongan penyerang itu.
Akan tetapi untuk serangan bahawa Tanah Melayu tidak wujud lagi setelah penubuhan Persekutuan Malaysia dan pelbagai yang lain.
Antaranya tentang sudah hilangnya entiti domisil Melayu itu, ia sebenarnya adalah perkara terakhir yang akan mencetuskan bukan sahaja krisis, juga konflik.
Dalam hal krisis dan konflik dan krisis itu, ia akan bukan sahaja memburukkan hubungan etnik Melayu dan Cina yang tidak pernah baik.
Juga ia akan mewujudkan tindak balas yang tidak diingini sehingga berlakunya perbalahan antara etnik sekali lagi di negara ini.
Ini kerana ia bukan sangat melampau sebagai pihak yang pada mula hanya mendatangi tempat ini bagi mencari nafkah, untuk kemudiannya mencabar keabsahan tanah air pihak yang memang memilikinya.
Juga amat biadab untuk menuntut kesamarataan, yakni pembahagian sama banyak pada segenap perkara di dalam negara ini, dengan tidak mahu langsung mengambil kira kedudukan etnik Melayu sebagai penduduk asal, selain kelompok majoriti dan dominan.
Sesungguhnya kedudukan khas etnik Melayu bersekali dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak termaktub dengan amat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kaedah keadilan, yakni pengagihan berdasarkan hak dan kelayakannya, yang diguna pakai selama ini semenjak tertubuhnya negara, mahu dihapuskan untuk digantikan dengan sama banyak.
Ia yang sama sekali tidak sesuai untuk negara ini sebagai bumi Melayu-islam yang hanya majmuk dari segi kependudukannya sahaja, tidak boleh sama sekali diguna pakai.
Dengan kata lain, asas negara ini pada masa dahulu, kini dan selamanya ialah Melayu-Islam, dengan pengamalan kaedah keadilan.
Walaupun Melayu-Islam, rejim negara ini, iaitu cara dan sistem pemerintahannya, khususnya urus tadbir negara, selalu memastikan adanya penyertaan aktif oleh etnik bukan Melayu-Islam dalam semua institusi negara.
Antaranya adalah pendidikan, politik dan ekonomi yang rata-ratanya dikuasai oleh etnik Cina.
Sebenarnya keabsahan semua entiti Melayu, lebih-lebih lagi tanah air mereka, bukan sahaja tidak patut, juga tidak boleh dipertikai langsung oleh sesiapa, sama ada di luar, apatah lagi yang dalam negara dan sebagai warganegara pula.
Ini kerana tanah air etnik Melayu ini mempunyai daulatnya, selain bertuan pada sepanjang masa dalam sejarah kewujudannya dari zaman purba sehingga sekarang.
Oleh itu, bukan sahaja sangat tidak patut, juga amat salah untuk mempertikai keabsahannya dari apa-apa jua segi.
Antaranya termasuklah tohmahan bahawa etnik Melayu sama-sama mendatangi tempat ini, seperti yang dilakukan etnik Cina dan India.
Tohmahan ini bukan sahaja sangat salah, juga bebal sekali sifat. Ini kerana etnik Melayu yang didakwa mendatangi tempat ini, sebenarnya merantau dalam wilayah sama, iaitu Nusantara yang merupakan Alam Melayu yang sangat luas.
Ia yang luas sekali itu adalah kepulauan di Asia Tenggara yang dipisahkan oleh lautan dan terletak di antara dua benua, iaitu Asia dan Australia.
Sehubungan ini, kawasan utama Nusantara merangkumi beberapa negara moden kini, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Filipina dan Timor Leste.
Perbuatan merantau ini dalam kawasan sama, iaitu Nusantara, bukan sesekali migrasi dalam apa-apa bentuk jua, termasuklah migrasi dalaman.
Ia perantauan, iaitu mengembara ke daerah lain dalam kawasan sama, untuk antaranya mencari penghidupan baharu.
Inilah yang sebenarnya berlaku dengan etnik Melayu di Nusantara. Mereka ke Tanah Melayu sebagai Melayu Deutero, yakni Melayu Dagang dari segenap pelosok Nusantara.
Dengan kata lain, Melayu Dagang di Tanah Melayu adalah etnik Melayu dari daerah lain dalam Nusantara yang berhijrah ke sini, bagi pelbagai tujuan, termasuklah untuk berniaga.
Oleh sebab sifatnya pengembaraan dalam kawasan budaya Melayu yang sama, etnik Melayu yang terdapat di Tanah Melayu bukan sesekali imigran yang mendatanginya, dari kawasan budaya yang berlainan.
Sehubungan ini, Tanah Melayu sebelum dihuni oleh Melayu Deutero, iaitu Melayu Dagang, didiami oleh Melayu Proto, yakni Orang Asli daripada pelbagai suku. Antaranya Temuan, Jakun, Semelai dan lain-lain.
Dalam hal ini, Melayu Proto adalah leluhur etnik Melayu kini di Tanah Melayu. Dengan kata lain, ramai etnik Melayu hari ini berasal dari Melayu Proto, selain Melayu Deutero.
Dengan ini, tidak timbul sama sekali bahawa etnik Melayu adalah juga pihak yang mendatangi tempat ini. Nusantara adalah tempat asal mereka.
Dengan ini, pertikaian terhadap entiti Melayu, lebih-lebih lagi tentang tanah air mereka, tidak perlu dan sama sekali tidak patut dijadikan isu.
Ini kerana sudah terang lagi bersuluh tempat yang dipertikai ini adalah memang bumi Melayu dan juga Islam.
Ia fakta yang bukan sahaja diketahui umum dan diterima keabsahannya secara moral dan legal semenjak sekian lama oleh semua pihak.
Oleh itu, tindakan mempertikainya adalah bebal sekali. Ia memang begitu sebab pihak yang terlibat dalam pertikaian ini bukan sahaja tidak mempunyai sekelumit pun kecerdasan pada tahap tinggi, juga langsung tidak ada kecerdikan yang paling asas pun.
Sebetulnya soal pemilikan Tanah Melayu oleh etnik Melayu sangat difahami oleh mereka ini.
Sehubungan ini, mereka ini hanya mahu menguji gagasan jahat mereka itu untuk menilai tindak balas masyarakat, sebelum betul-betul melakukan perkara yang lebih besar.
Apa-apa jua niatnya, perbuatan sebegini sangat berbahaya. Oleh itu, ia hendaklah dihentikan serta-merta untuk tidak boleh lagi mempertikai entiti Melayu sebagai kewatanan nasional di negara ini.
Ini sangat penting untuk mencegah berlakunya perbalahan etnik pada era ini, yang bukan sahaja akan terus memusnahkan perpaduan negara sedia ada.
Juga yang akan menghancurkan citra baik negara ini di mata dunia, antaranya sebagai tempat harmoni. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).









