DUNGUN: Sepasang kekasih ditahan polis kerana disyaki menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan menyembunyikanya di dalam sebuah loker asrama di sebuah kolej di daerah ini, 9 September lalu.
Lelaki berusia 24 tahun yang merupakan seorang mekanik itu ditahan di Jalan Pantai Teluk Lipat, di sini, kira-kira pukul 3 petang semalam manakala pasangannya berusia 19 tahun dan merupakan pelajar kolej tersebut, ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di Ibu pejabat Polis Daerah Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, pelajar perempuan itu diberi jamin polis atas faktor kesihatan dan risiko mengalami komplikasi selepas melahirkan bayi.
Katanya, teman lelakinya yang berasal dari Kampung Duyong Kecil, Kuala Terengganu pula dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari sehingga Rabu ini oleh Majistret Ng Yan Ni.
“Siasatan awal mendapati, remaja perempuan itu melahirkan bayi lelaki seberat 2.6 kilogram di dalam tandas asrama itu kira-kira pukul 5 petang pada 9 September lalu.
“Suspek kemudian menyimpan bayi tersebut di dalam loker asrama tanpa disedari rakan sebiliknya dan memaklumkan kepada teman lelakinya supaya mengambil mayat bayi tersebut untuk ditanam secara senyap-senyap,” katanya hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, kejadian itu terbongkar selepas pelajar perempuan itu menghubungi pengurusan masjid untuk mendapatkan bantuan menguruskan mayat bayi itu.
Katanya, pengurusan masjid kemudian memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada pihak pengurusan kolej kira-kira pukul 9.11 malam, pada 10 September lalu sebelum dilaporkan kepada polis.
“Mayat bayi tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 11 September lalu, namun hasil bedah siasat belum diperoleh dan kita masih menunggu laporan makmal untuk mengetahui sebab kematian bayi tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. – UTUSAN











