Kerjasama UMNO, Pas di Perlis, calon MB masih terbuka ? - Utusan Malaysia

Kerjasama UMNO, Pas di Perlis, calon MB masih terbuka ?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

DI Perlis, jika kerjasama UMNO dan Pas direalisasikan, peluang memerintah negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) terbuka luas.

Tidak perlu bersusah payah berkempen, kemenangan dalam genggaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua parti terbesar Melayu Islam itu cukup berpengaruh di negeri ini sama ada daripada segi kekuatan akar umbi dan jentera.

Dalam konteks Perlis, yang menjadi persoalan besar siapa bakal diketengahkan sebagai Menteri Besar sama ada dari Pas atau UMNO.

Meskipun Perlis termasuk dalam negeri SG4 dikuasai Pas dengan sembilan daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, namun situasi di negeri ini berbeza daripada Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Perbezaan paling ketara, daripada segi ketokohan dan pengaruh kepemimpinan selain pengalaman mentadbir negeri. Kedah ada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, digelar panglima perang Pas.

Ketiga-tiga mereka selain Menteri Besar, juga mempunyai pengaruh besar di peringkat pusat.

Berbeza di Perlis, kemenangan Pas atau Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 dibantu oleh gelombang selain kedudukan sebagai Menteri Besar hanya bertahan sekitar tiga tahun selain masih bergelut dengan krisis dalaman.

Daripada segi pentadbiran negeri, UMNO atau Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai lebih pengalaman meskipun disebalik tempias gelombang PRU15, kalah semua kerusi.

Perlu diingat, dalam sejarah negeri ini, UMNO atau BN buat pertama kali hilang penguasaan negeri hanya pada PRU15.

Berbeza dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu di mana Pas sudah lama mentadbir negeri.

Jika Pas mahu mengekalkan formula mempertahan kerusi dimenangi, mereka sekurang-kurangnya bertanding di sembilan kerusi DUN.

Ingin merealisasikan kerjasama dengan UMNO, formula baharu dalam pengagihan kerusi perlu dinilai semula.

Pas juga tidak boleh terlalu ‘demand’ atau menuntut kerusi Menteri Besar adalah hak mutlak parti itu jika bekerjasama dengan UMNO.

Kedua-dua parti mesti mencari kata sepakat dalam soal tersebut, buang ego dengan apa yang penting demi kestabilan negeri ini.

Pendirian UMNO pula jelas, mereka hanya terbuka berunding dengan Pas bukan PN.

Setakat ini, ruang ke arah kerjasama berkenaan dilihat sudah terbuka luas, hanya menunggu langkah seterusnya.

Ditanya sama ada UMNO sedia bekerjasama dengan Pas di Perlis, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, pintu kerjasama terbuka namun belum ada sebarang perkembangan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×