RIYADH: Kumpulan Houthi didakwa menggunakan senjata pertahanan udara buatan Iran yang diubah suai menjadi peluru berpandu jelajah, sekali gus menimbulkan ancaman serius kepada pesawat awam.
Menurut jurucakap Angkatan Bersenjata Yemen, Kolonel Majid Abdullah Al-Nuzaili, senjata itu diubah suai oleh pakar Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di Yemen dan dilancarkan dari Hodeidah ke arah laluan penerbangan antarabangsa di ruang udara selatan Laut Merah.
Majid Abdullah berkata, setiap peluru berpandu itu boleh berlegar sehingga 25 minit, beroperasi menggunakan sistem pengesanan haba dan menyerang sebarang sumber haba tanpa keupayaan membezakan antara sasaran ketenteraan atau awam.
Beliau memberi amaran tindakan itu merupakan ancaman langsung dan berbahaya terhadap keselamatan penerbangan awam serta nyawa penumpang, termasuk mereka yang menaiki pesawat organisasi kemanusiaan dan bantuan yang menggunakan laluan udara berkenaan ke Yemen dan rantau itu.
Majid Abdullah menyifatkan penggunaan senjata itu sebagai peningkatan serius yang melangkaui ruang udara Yemen dan mengancam laluan penerbangan antarabangsa.
Jurucakap itu turut mengaitkan perkembangan berkenaan dengan ancaman terbaharu pegawai kanan Iran untuk mengganggu perkhidmatan penerbangan di rantau itu susulan sekatan terhadap syarikat penerbangan Iran.
Peningkatan ancaman itu berlaku ketika Penasihat Pemimpin Agung Iran, Mohammad Mokhber dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei mengeluarkan ancaman untuk menyasarkan dan mengganggu perkhidmatan penerbangan di rantau itu susulan sekatan yang dikenakan terhadap syarikat penerbangan Iran.
Majid Abdullah menggesa badan penerbangan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengambil tindakan.
Tiada kenyataan daripada Houthi atau Iran berhubung dakwaan tentera Yemen itu.
Yemen dilanda konflik sejak kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada 2014. Tindakan itu mendorong pakatan Arab diketuai Arab Saudi campur tangan pada 2015 bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Pertempuran kembali tercetus pada Julai apabila kumpulan itu mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Riyadh.
Houthi baru-baru ini mendakwa membuat kemajuan di sepanjang pantai Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab, selain turut menyasarkan infrastruktur minyak Arab Saudi.-AGENSI











