PETALING JAYA: Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan mendedahkan perkembangan rundingan pembahagian kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi PN enggan menjawab soalan ketika ditanya mengenai proses pembahagian 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.
“Kamu banyak nak tanya politik ni pasal apa? Kami nak berjalan dulu,” katanya ketika menghadiri Melaka Coastal Run 2026 di Pantai Puteri, Melaka hari ini.
Rabu lalu, DUN Melaka dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN, sekali gus menjadikan pembahagian kerusi antara perkara utama yang perlu dimuktamadkan parti-parti politik buat masa ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, BN kekal dengan pendirian untuk mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.
Malah, Pengerusi BN Melaka itu menegaskan, tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung sementara semua kegiatan PN tidak menghalang BN daripada mencari persefahaman politik dengan mana-mana parti dalam gabungan berkenaan.
Jelasnya, rundingan termasuk dengan parti dalam PN yang dianggotai Pas, Wawasan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) itu tidak memberi kesan terhadap hala tuju BN kerana rundingan politik tetap akan dilaksanakan secara rasmi apabila tiba waktunya.
Dalam pada itu, Hamzah turut menyindir pendekatan politik semasa ketika mengulas penganjuran Melaka Coastal Run 2026.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan tadi pendaftaran (Melaka Coastal Run 2026) sudah dekat 2,000 orang dan boleh diteruskan setiap tahun bagi mengembalikan minat rakyat terhadap Melaka dan membantu memperkukuh sektor pelancongan negeri.
“Ini menunjukkan bahawa kepimpinan yang ada di negeri Melaka melalui Wawasan ini, mereka lebih pandang jauh ke hadapan daripada hanya syok sendiri,” katanya.
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu berkata, program berkenaan dirancang hanya beberapa hari sebelum pengumuman pembubaran DUN Melaka.
“Kita tak tahu pun bahawa mereka nak membubarkan pada hari Selasa. Saya dan Tan Sri (Naib Presiden Wawasan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik) dan kata, ‘kenapa tidak kita buat sesuatu yang pada hari Sabtu’,” katanya. – UTUSAN











