KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi dan pelakon Cat Farish, Shikin Maembong berharap netizen memahami keadaannya yang dalam fasa penghijrahan selepas memutuskan untuk berhijab.
Menurut Shikin, dia masih jauh bergelar wanita sempurna kerana perubahan yang diambil dilakukan secara berfasa.
“Bila kita cakap nak berubah ke arah kebaikan bukanlah bermaksud kita ini terus sempurna.
“Lebih-lebih lagi apabila kita bertudung ini, pemakaian kita haruslah disesuaikan dengan penampilan sekarang.
“Saya secara perlahan-lahan berubah untuk menutup sebaiknya aurat saya, secara berfasa.
“Doakan saya yang dalam perjalanan ke arah kebaikan ini, Insha-Allah,” katanya.
Kata Siti Nur Ashikin Ismail, bukan senang untuk membuat keputusan untuk berubah dan kekal dalam perubahan itu.
“Bukan mudah untuk istiqomah lebih-lebih lagi apabila kita main pakai sahaja baju yang menampakkan kita kelihatan hodoh.
“Tapi saya mencuba dan setakat ini, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Disoal tentang pakaian lama, Shikin memaklumkan dia mengambil keputusan untuk bersedekah atau menjual baju yang masih boleh dipakai.
“Sebenarnya saya bagi atau jual. Kebetulan adik saya, Yaya Meambong mengumpul baju-baju lama untuk dijual.
“Pemakaian saya sebelum ini tidaklah terlampau seksi, adalah satu dua , itu pun saya buang sahaja.
“Namun menariknya apabila baju-baju lama saya kebanyakannya boleh di padankan dengan pakaian lain yang menutup aurat,” katanya lagi.
Disoal mengenai reaksi keluarga, Shikin mengakui mereka turut gembira dengan perubahan yang ditunjukkan.
“Keluarga tentu sekali gembira, ialah ada keluarga yang berubah ke arah lebih baik. Mereka awalnya tak sangka yang saya akan bertudung.
“Saya rasa inilah masanya untuk saya berubah ke arah kebaikan secara perlahan-lahan,” kongsinya.











