ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mengerahkan puluhan ribu anggota polis ke Islamabad, memasang sekatan di lebuh raya dan mengeluarkan waran tangkap dalam usaha menghalang demonstrasi bagi menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri, Imran Khan.
Pemimpin parti Khan bagaimanapun berikrar untuk meneruskan demonstrasi di seluruh negara yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Perarakan itu diumumkan parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keadaan Khan, yang dipenjarakan sejak 2023 atas pertuduhan rasuah.
Semalam, pemimpin PTI masih membincangkan sama ada untuk memulakan perarakan pada Ahad dan bergerak perlahan menuju Islamabad bagi ‘melemahkan kerajaan’ atau menangguhkannya sehingga minggu depan.
Penganalisis berkata, demonstrasi itu boleh menjadi cabaran besar kepada kerajaan yang disokong tentera dan secara meluas dianggap lemah, tidak sah serta tidak mendapat sokongan rakyat, manakala Khan kekal sebagai tokoh yang mampu menarik sokongan.
Gabungan pemerintah diketuai Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, namun Ketua Tentera Darat, Field Marshall Asim Munir, secara meluas dilihat sebagai pemimpin de facto negara itu.
Minggu ini, puluhan pemimpin dan menteri PTI ditahan atau dikenakan waran tangkap, manakala tiga saudara perempuan Khan ditahan pada Isnin dan masih dipenjarakan atas tuduhan menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan.
Antara yang berdepan penahanan ialah Sohail Afridi, Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa, negeri asal Khan dan kubu kuat PTI, yang dijangka menyaksikan ribuan penyokong menyertai perarakan menuju ibu negara.
Afridi berkata PTI akan meneruskan perarakan itu kecuali kerajaan memberikan konsesi besar berhubung layanan dan keadaan Khan dalam penjara, termasuk perbicaraan yang adil bagi kes yang dihadapinya.
“Kerajaan panik sebab itu mereka mengepung Islamabad dan sebab itu mereka menculik menteri kami.
“Imran Khan ialah pemimpin paling popular di negara ini dan rakyat akan turun menyokongnya. Saya yakin mereka tidak akan mampu menghalang kuasa rakyat apabila mereka turun ke jalanan dan bergerak ke Islamabad,” katanya.
Lebih 1,000 kontena, sebahagiannya diperkukuh dengan pancang, digunakan untuk menyekat jalan raya, manakala guni pasir diletakkan di jambatan dan sebuah lebuh raya utama menuju ibu negara ditutup.
Perhimpunan awam turut dilarang di Islamabad, dengan 22,000 anggota polis dan pasukan keselamatan lain dikerahkan di seluruh ibu negara.
Penutupan yang dilaksanakan kerajaan itu mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk ibu negara, dengan banyak perniagaan tidak dapat mendapatkan bekalan.- AGENSI











