KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan menerusi penyertaan aktif dalam University Research & Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 September 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Penyertaan UMT melibatkan tiga niche utama, iaitu Sustainable Energy, Green Technology, Marine & Environmental; Ag-Tech & Food Biotech; serta Biodiversity, Ecotourism, Indigenous Knowledge and National Heritage, dengan mengetengahkan pelbagai teknologi dan inovasi berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat industri dan pasaran. Antara produk yang dibawa ke sesi pitching ialah ShipTracker: SeaToSpace Project, Malaysia Marine Forecast System (MFAST), Hydrogen Storage, PKC Nutri+, Integrated Shrimp Waste Biorefinery, Functional Aquafeed From Black Soldier Fly Larvae Protein serta Tropical Island & Marine Wildlife Excursion.
Secara keseluruhannya, penyertaan UMT di URIIS 2026 berjaya mengenal pasti potensi nilai pelaburan, kolaborasi dan pengkomersialan berjumlah kira-kira RM1.2 juta. Nilai tersebut mencerminkan potensi yang dikenal pasti melalui sesi pitching, pameran, jaringan industri serta perbincangan bersama pelabur dan rakan strategik sepanjang berlangsungnya summit berkenaan.
“Pencapaian UMT ini hadir dalam suasana URIIS 2026 yang secara keseluruhannya merekodkan 120 sesi libat urus antara universiti, industri dan pelabur, menghasilkan 84 potensi kerjasama dengan unjuran nilai pelaburan RM24 juta, selain menyaksikan pemeteraian 26 MoU, MoA dan Letter of Intent (LoI). Lebih 200 teknologi daripada universiti awam dan swasta turut dipamerkan sebagai teknologi yang bersedia untuk pelaburan,” kata universiti itu dalam satu kenyataan.
Selain sesi pitching utama, UMT turut mengambil bahagian dalam Pitching Arena bersama pemain pelaburan dan industri menerusi pembentangan produk seperti ShipTracker: SeaToSpace Project, JSORB, EZ Farm, Honey Beads dan NanoSil, yang membuka ruang kepada penerokaan pelaburan, pembangunan teknologi dan pengkomersialan. Dalam sesi pameran pula, Malaysia Marine Forecast System (MFAST), EZ Farm dan Tropical Island & Marine Wildlife Excursion telah terpilih untuk diketengahkan kepada pihak industri, pelabur dan pengunjung URIIS 2026.
Dalam masa yang sama, penyertaan UMT turut memperlihatkan komitmen universiti dalam membawa hasil penyelidikan dan inovasi yang memberi nilai kepada masyarakat dan komuniti, termasuk pembangunan produk, peningkatan kapasiti, jaringan kepakaran serta penerokaan peluang pasaran baharu. Pendekatan ini selari dengan matlamat URIIS 2026 untuk memastikan hasil penyelidikan universiti tidak terhenti pada peringkat penerbitan, paten dan prototaip, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian, projek perintis dan produk komersial.
Penyertaan UMT di URIIS 2026 sekali gus memperkukuh kedudukan universiti dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi negara dengan menghubungkan kepakaran penyelidik kepada keperluan industri, peluang pelaburan dan laluan pengkomersialan. Ia turut menjadi pemangkin kepada usaha UMT untuk memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada nilai ekonomi, penyelesaian industri serta manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan negara.










