Bina penempatan, ringankan beban ‘anak kampus’

Bina penempatan, ringankan beban ‘anak kampus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2026, dijangka lebih 1.2 juta pelajar akan meneruskan pengajian di pelbagai IPT awam dan swasta di negara ini. Bagi sebahagian besar daripada mereka yang berjaya terutama ke IPTA, elaun sara hidup dan bantuan kewangan adalah nadi utama yang membolehkan mereka memberi fokus sepenuhnya terhadap pelajaran tanpa dibebani tekanan kos hidup yang semakin meningkat. 

Walaupun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kekal sebagai penyedia utama bantuan kewangan, dengan skim Pinjaman Pendidikan mereka yang merangkumi komponen Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang berfungsi sebagai elaun sara hidup. Namun dengan peningkatan kos sara hidup secara mendadak ketika ini, ramai dalam kalangan pelajar terpaksa bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan mereka sepanjang bergelar mahasiswa atau mahasiswi.

Bagi tahun pertama di universiti, pelajar mungkin kurang beban kerana mereka diwajibkan tinggal di kolej kediaman untuk satu sesi pengajian (dua semester) bagi merasai suasana kehidupan di dalam kampus universiti. Bagi tahun kedua pula, untuk tinggal di kolej kediaman universiti,  ia bergantung kepada kekuatan sebab permohonan seseorang pelajar itu. Tetapi yang pasti tidak ramai yang dapat tinggal di kolej kediaman universiti kerana pihak universiti terpaksa memberi peluang kepada pelajar-pelajar lain yang baharu mendaftar masuk.

Cabaran mereka akan bermula sebaik saja mula menyewa rumah di luar kolej atau universiti. Kebanyakan pelajar menyewa secara beramai-ramai bagi mengurangkan beban. Maklum saja sewa rumah sekarang tiada lagi yang berharga RM300, RM400 atau RM500 sebulan. Kebanyakannya harga sewa rumah sekitar RM800 ke atas, apatah lagi jika menyewa apartment atau kondominium yang sewa bulanan mencecah RM1,000 ke atas.

Harga sewa rumah, apartment atau kondominium yang terlalu tinggi ketika ini benar-benar membebankan pelajar yang tinggal di luar kampus universiti. Beban kewangan mereka akan bertambah lagi dengan lain-lain kos seperti tambang pengangkutan, makan minum dan lain-lain. Justeru, ramai dalam kalangan pelajar di IPTA ini terpaksa bekerja sambilan.

Masalah utama yang dihadapi pelajar IPTA ketika ini ialah penempatan. Sekiranya pihak universiti awam yang mempunyai tanah beratus ekar dapat membina pangsapuri untuk penempatan para pelajar sepanjang mereka bergelar ‘anak kampus’, rasanya beban kewangan yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Dengan membina pangsapuri atau apa jua jenis penempatan, pihak universiti juga dapat menjana pendapatan melalui kadar penyewaan yang berpatutan.

Katakan 5,000 pelajar masuk ke satu-satu universiti, dengan 4,000 daripadanya menyewa di kediaman milik universiti pada kadar RM300 sebulan, pihak universiti boleh menjana pendapatan RM1.2 juta sebulan. Tetapi tidak dapat dipastikan kenapa pihak universiti-universiti awam yang adakan di negara ini tidak segera membina asrama pelajar di dalam kampus masing-masing.

Imran Mohamad Nor, Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

×