Australia bantu AS cari komponen pesawat hilang

Australia bantu AS cari komponen pesawat hilang

SEBUAH pesawat Lockheed Martin F-35 Lightning II diterbangkan sebagai sebahagian daripada pertunjukan pada hari pembukaan Farnborough International Airshow di Farnborough, barat daya London.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Australia membantu Amerika Syarikat (AS) menyiasat kehilangan beberapa komponen pesawat pejuang halimunan F-35 yang tersilap dihantar ke destinasi lain awal tahun ini.

Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles berkata, penghantaran komponen F-35 yang tidak boleh digunakan dari Australia dan sepatutnya dihantar ke AS, sebaliknya dialihkan ke Hong Kong.

Komponen berkenaan dihantar syarikat pihak ketiga bagi pihak pengeluar, Lockheed Martin, namun masih belum ditemukan beberapa bulan selepas kejadian itu.

Portal Politico yang pertama kali melaporkan kejadian berkenaan minggu lalu, bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana penghantaran itu boleh tersasar ke Hong Kong.

Marles kelmarin berkata, Canberra bekerjasama dengan AS dan Lockheed Martin bagi menyiasat peranan Australia dalam kejadian berkenaan.

Beliau turut menegaskan komponen yang hilang itu bukan bahan sensitif. Bagaimanapun, Marles tidak menjelaskan mengapa komponen berkenaan dikategorikan sebagai tidak sensitif.

Ketika ditanya wartawan mengenai perkara itu, beliau berkata, persoalan berkenaan lebih sesuai diajukan kepada AS dan Lockheed Martin.

Menurut Politico, penghantaran itu termasuk kanopi F-35 yang menggunakan teknologi tahan radar, namun tidak dapat dipastikan komponen bahagian mana yang terkandung dalam penghantaran berkenaan.

F-35 adalah jet pejuang halimunan generasi kelima buatan AS yang digunakan Washington dan negara sekutunya. Ketika ini, pesawat berkenaan dikendalikan dari pangkalan di wilayah sendiri oleh 12 negara.

Pejabat Program Bersama F-35 Pentagon mengesahkan kepada Politico berlaku ‘isu penghantaran’ membabitkan komponen yang tidak boleh digunakan.

Menurutnya, pihak berkenaan bekerjasama dengan agensi AS serta rakan industri bagi mendapatkan semula komponen terbabit.

Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Perwakilan AS turut meneliti kes berkenaan, manakala pegawai Pentagon dan Jabatan Negara dilaporkan mula memberi taklimat kepada kakitangan Kongres mengenainya pada Jun lalu.

Insiden itu turut menimbulkan persoalan mengenai potensi kelemahan dalam rangkaian bekalan global F-35 yang kompleks.

Alat ganti F-35 biasanya dihantar antara pangkalan tentera, gudang serantau dan kemudahan pembaikan, dengan Lockheed Martin menguruskan sebahagian besar rangkaian berkenaan bagi pihak Pentagon.

Pengangkutan komponen ke peringkat antarabangsa turut membabitkan syarikat pengangkutan komersial dan kontraktor lain.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×