SPIELBERG: Pertemuan Pedro Acosta dengan Marc Marquez sebagai rakan sepasukan Ducati musim depan dijangka mencetuskan persaingan sengit apabila kedua-dua pelumba itu berkongsi jentera yang sama.
Ketua kru Acosta di KTM, Paul Trevathan percaya juara dunia tujuh kali itu belum pernah berdepan pelumba dengan karakter seperti Acosta sepanjang kariernya.
“Marc (Marquez) sudah menjadi yang terbaik dalam dunia ini dalam berdepan dengan rakan sepasukan dan memahami cara untuk mendapatkan sokongan pasukan di sekelilingnya.
“Tetapi dia juga tidak pernah mempunyai seseorang seperti Acosta di sebelahnya. Jadi, ini akan menjadi sesuatu yang menarik,” katanya.
Acosta, 21, yang akan meninggalkan KTM untuk menyertai Ducati musim depan, baru sahaja meraih kemenangan sulungnya dalam kelas perdana di Austria.
Trevathan berkata, kejayaan itu memberikan keyakinan tambahan kepada Acosta sebelum berdepan cabaran besar sebagai rakan sepasukan Marquez.
Menurutnya, Acosta bukan sekadar mahu mengukur kemampuan berdasarkan keputusan perlumbaan, sebaliknya mahu membuktikan keupayaannya dengan memberikan cabaran terbaik kepada Marquez.
“Bagi Pedro, seperti yang dia sendiri katakan kepada saya, ia bukan soal menang atau kalah, tetapi tentang mencuba.
“Jika Marquez menewaskannya dengan jentera yang sama, dia boleh berkata, ‘Okey, pelumba itu lebih baik’. Tetapi dia benar-benar mahu meletakkan dirinya dalam situasi itu dan mencuba,” katanya. – AGENSI











