Raikan sedekad perjalanan seni, Reality Club mahu sajikan persembahan bermakna buat peminat - Utusan Malaysia

Raikan sedekad perjalanan seni, Reality Club mahu sajikan persembahan bermakna buat peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar mahu meraikan sedekad perjalanan seni, kumpulan indie Indonesia, Reality Club mahu memastikan kepulangan mereka ke Malaysia kali ini meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan buat peminat yang hadir ke konsert 10 Years of Reality Club nanti.

Bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 13 November ini, kumpulan tersebut bakal menyajikan lebih 20 lagu daripada empat album dalam sebuah persembahan yang berdurasi dua jam.

“Kami akan mempersembahkan lebih 20 lagu dan saya rasa ini adalah jumlah lagu terbanyak yang pernah kami bawakan dalam satu persembahan di Malaysia setakat ini.

“Lagu-lagu tersebut dipilih daripada keseluruhan katalog kami yang merangkumi empat album,” kata Fathia Izzati ketika ditemui di sidang media konsert 10 Years of Reality Club, baru-baru ini.

Selain Fathia, Reality Club turut dianggotai Faiz Novascotia Saripudin selaku gitaris dan vokalis, Nugi Wicaksono sebagai pemain bassdan Era Patigo merupakan pemain dram.

Tambah Fathia, konsert tersebut tidak akan disajikan seperti persembahan biasa, sebaliknya dibangunkan dengan konsep khusus bagi meraikan perjalanan sedekad mereka dalam industri muzik.

“Ini akan menjadi persembahan yang sangat istimewa kerana ia mempunyai konsep tersendiri dan bukan sekadar persembahan biasa.

“Konsepnya adalah seperti kami membawa peminat masuk ke ‘rumah kelab’ Reality Club. Disebabkan ini persembahan kami sendiri, kami mempunyai lebih banyak kebebasan untuk melakukan sesuatu mengikut cita rasa dan idea kami,” jelasnya.

Sementara itu, Faiz turut memaklumkan persiapan konsert tersebut sudah bermula sejak mereka menjayakan persembahan di Jakarta pada Jun lalu.

“Persiapan sudah dilakukan sejak persembahan ulang tahun ke-10 kami di Jakarta. Itu merupakan persembahan paling besar yang pernah kami lakukan dengan banyak latihan dan perancangan konsep.

“Malah, sebelum persembahan itu berlangsung, kami sudah memikirkan tentang Malaysia dan bagaimana mahu membawa konsep tersebut ke sini. Jadi, sejak Mei lagi kami sebenarnya sudah memikirkan dan membuat persiapan untuk persembahan ini.

“Antara cabaran utama adalah bagaimana mahu merealisasikan konsep itu di Kuala Lumpur kerana kami tidak boleh membawa semua prop dari Jakarta disebabkan kos yang agak tinggi,” kongsinya.

Bagaimanapun, kumpulan yang terkenal menerusi lagu Is It The Answer itu berharap konsert itu bakal mencipta sejarah termanis buat peminat di Malaysia pada malam itu nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×