Netanyahu mahu guna pentas UNGA serang Zohran

Netanyahu mahu guna pentas UNGA serang Zohran

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan beliau akan menggunakan pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini bagi mempertahankan tindakan ketenteraan rejim itu ke atas wilayah Palestin, sambil menuduh Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menyokong kumpulan Hamas.

Kenyataan balas Netanyahu itu dibuat susulan ucapan Zohran dalam satu wawancara bersama stesen televisyen CNN, di mana beliau menyifatkan pemimpin Israel berkenaan sebagai seorang penjenayah perang dan dalang kepada genosid rakyat Palestin yang mengerikan.

Netanyahu yang dijadualkan menyampaikan ucapan rasmi di Perhimpunan Agung PBB pada Khamis memaklumkan pendiriannya menerusi satu kenyataan video ringkas.

“Saya akan hadir ke PBB. Saya akan menyatakan kebenaran mengenai tentera kita dan saya akan menyatakan kebenaran mengenai anda (Zohran),” kata Netanyahu.

Zohran sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk menahan Netanyahu, namun mengakui beliau tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk berbuat demikian.

Netanyahu secara terbuka mengecam pemimpin bandar raya New York berkenaan atas penentangannya terhadap operasi rejim Zionis di Gaza.

Sebilangan penentang daripada Parti Republikan menyifatkan Zohran sebagai seorang yang anti-Semitisme berikutan kelantangannya mempertahankan hak rakyat Palestin serta kritikan tajamnya terhadap serangan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, Zohran mengutuk keras andaian itu dan menegaskan kritikannya terhadap dasar serta tindakan ketenteraan Israel sering disalah anggap secara sengaja sebagai sikap anti-Semitisme.

Serangan Hamas ke atas kawasan penempatan Israel pada 7 Oktober 2023 dilapor telah mengorbankan kira-kira 1,200 orang, manakala 251 yang lain dijadikan tawanan, menurut angka rasmi Pihak Berkuasa Israel.

Israel membalas serangan tersebut menerusi siri serangan udara dan darat secara besar-besaran yang didakwanya bertujuan menumpaskan keupayaan ketenteraan serta pentadbiran Hamas.

Sehingga kini, lebih 73,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban akibat serangan rejim berkenaan, menurut pegawai kesihatan Gaza, satu angka korban yang merangkumi orang awam dan pejuang tempatan.

Pihak rejim Israel secara berterusan menafikan tuduhan mereka melakukan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza, sebaliknya mendakwa mereka hanya memerangi anggota Hamas yang didakwa berselindung di sebalik populasi awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×