Kibaran bendera hitam tidak dapat sambutan ? - Utusan Malaysia

Kibaran bendera hitam tidak dapat sambutan ?

Sama seperti di kebanyakan bandar lain, tiada bendera hitam dikibarkan di Kota Kinabalu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen mengibarkan bendera hitam yang diuar-uarkan di media sosial bermula semalam tidak mendapat sambutan meskipun mendapat perhatian ahli politik selain dipantau polis.

Di PERLIS: Pemerhatian Utusan Malaysia di sekitar Arau mendapati tidak ada kelibat individu yang bertindak memasang bendera hitam sama ada di hadapan rumah, kedai, jalan atau tempat -tempat sesuai.

Malah, ramai dalam kalangan rakyat di negeri ini tidak mengetahui langsung mengenai kempen tersebut yang difahamkan bagi menunjukkan rasa kekecewaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, hasil pemerhatian pihaknya di sekitar negeri ini mendapati tidak kelihatan kibaran bendera hitam sama ada rumah, permis perniagaan atau di jalan-jalan raya.

Di ALOR SETAR: Hasil tinjauan Utusan Malaysia di beberapa daerah di negeri tidak menemukan bendera hitam yang dipasang di rumah, kedai dan jalan seperti yang disarankan.

Pengerusi Mini Food Bank Alor Setar, Amirul Syahir Musa berkata, dia mendapati tiada ada penduduk di sini yang mengibarkan bendera hitam.

Seorang penduduk, Hadi Hassan, 38, dari Jalan Pegawai di sini, berkata, kebanyakan penduduk mahu bekalan makanan selepas mereka terputus mata pencarian.

“Soal kempen mengibar bendera hitam atau bendera warna-warna lain bukan keutamaan, kami sekarang hanya mahu bekalan barangan makanan sama ada daripada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Di KOTA KINABALU: Sama ada warna putih mahu pun hitam, tiada kibaran bendera dilihat di sepanjang laluan dari Putatan menuju ke pusat bandar raya.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin politik termasuk Ahli Parlimen Penampang, yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking dilihat menukar gambar profil Facebooknya bagi menyokong kempen mengibarkan bendera hitam ini.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, kempen mengibarkan bendera hitam ini adalah satu pendekatan negatif yang tidak akan membawa impak positif sama sekali.

“Kempen ini hanya mendorong kepada impak negatif seperti benci, marah, amuk, protes dan sebagainya dan ia sama sekali tidak akan membantu Malaysia memenangi peperangan melawan Covid-19,” katanya..

Di IPOH: Kempen mengibarkan bendera hitam disifatkan memburukkan lagi kesusahan rakyat yang terjejas kehidupan mereka ketika kemelut pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kempen itu tidak membantu rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah tiada kena mengena dengan usaha membantu rakyat.

Menurutnya, sebaliknya kempen itu menyebabkan fokus membantu rakyat tidak dapat diberikan sepenuhnya.

“Kalau masa ini masing-masing nak berpolitik, saya tidak setuju. Ketika rakyat amat terkesan akibat pandemik ini, tapi lebih ramai yang nak berpolitik, desak Parlimen dan DUN bersidang, ahli politik lebih sibuk nak menjatuhkan kerajaan dan ini akan menyebabkan fokus untuk membantu rakyat diketepikan,” katanya nya

Di GEORGETOWN: Tinjauan di sekitar Pulau Pinang turut mendapati kempen kibarkan bendera hitam tersebut tidak mendapat sambutan apabila hampir tiada langsung kelibat bendera hitam tersebut dikesan dinaikkan di mana-mana kediaman di negeri itu.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil dilihat menyahut cabaran itu apabila berkongsikan gambar bendera hitam yang dipercayai dinaikkan di hadapan rumahnya di dalam media sosial Facebook miliknya.

Namun, tindakan ADUN Permatang Pasir berkenaan menerima kritikan dan teguran daripada majoriti pengikut laman sosial Facebooknya termasuk ada yang meminta beliau memberi tumpuan kepada masalah sebenar rakyat yang mengibarkan bendera putih.

Di JERANTUT: Tinjauan di beberapa taman perumahan kawasan bandar dan pinggir bandar di daerah ini mendapati tiada kibaran bendera hitam.

Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) , Jerantut, Mohamad Fasal Jamlus berkata, sehingga ini tidak dilaporkan tentang pemasangan bendera hitam hadapan kediaman penduduk daerah ini.

Di BESUT dan DUNGUN: Polis Terengganu mengesan beberapa bendera hitam dikibarkan di dua daerah tersebut semalam..

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, mana-mana individu yang didapati mengibarkan bendera tersebut boleh disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan di samping Seksyen 233 Akta Komunikasi dan MultiMedia.

Di KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sedang menyiasat berhubung kempen tersebut seperti yang diuar-uarkan menerusi laman media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bercakap Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kewujudan kempen tersebut dan kertas siasatan mengenainya telah dibuka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×