KUALA TERENGGANU: Pengalaman lebih sedekad dalam seni khat membuahkan hasil buat penulis dan pereka khat, Ahmad Abdul Hadi Shamsul, 31, apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Spontan pada Festival Kaligrafi Islam Terengganu Kali Kedua Peringkat Kebangsaan 2026.
Anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selepas menghasilkan karya ayat al-Quran menggunakan khat Thuluth dalam tempoh tiga jam dalam festival di Taman Tamadun Islam, di sini, Ahad lalu.
Ahmad Abdul Hadi berkata, penyertaan dalam pertandingan seni khat bukan perkara baharu kerana dia sudah menyertai pelbagai pertandingan sejak mula menceburi bidang tersebut kira-kira 10 tahun lalu.
“Dalam pertandingan spontan, saya perlu memberi perhatian kepada komposisi iaitu susunan huruf dan keseimbangan karya supaya hasilnya bukan sahaja cantik tetapi kemas.
“Persediaan sebelum pertandingan juga penting kerana saya perlu memastikan kaedah penulisan serta penggunaan jenis khat yang sesuai dengan tema ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada festival tersebut.
Festival Kaligrafi Islam Terengganu kali kedua itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat.
Ahmad Abdul Hadi berkata, selain khat Thuluth, dia menggunakan khat Nasakh dalam penghasilan karya dan melihat seni khat sebagai salah satu medium untuk menyebarkan syiar Islam.
Katanya, seni khat perlu terus dipulihara dan diperkenal kepada generasi muda supaya warisan seni Islam itu tidak ditinggalkan.
Sementara itu, Johan Kategori Karya Siap (Batik), Muhamad Zulfadli Abdul Ghani, 34, dari Bukit Payong, Marang, membawa pulang hadiah RM3,000 selepas menghasilkan karya yang mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan.
Penjawat awam itu berkata, minat terhadap seni khat berputik ketika berada di universiti selain mempunyai asas dalam seni lukisan sejak di bangku sekolah rendah.
“Ini kali pertama saya muncul juara dan saingan memang sengit kerana semua peserta menghasilkan karya yang sangat baik. Saya mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan karya ini kerana setiap elemen perlu dibuat dengan teliti,” katanya.
Katanya, penganjuran festival berkenaan penting bagi memberi ruang kepada penggiat seni khat mengetengahkan bakat selain menarik lebih ramai generasi muda untuk mengenali seni tersebut.
Sementara itu, peserta dari Dengkil, Selangor, Mohd Nur Hazwan Yusof, 36, meraih tempat kedua Kategori Karya Siap (Kanvas) dan menerima hadiah wang tunai RM2,000.- UTUSAN











