PETALING JAYA: Sebanyak 15,000 peluang kerjaya bakal ditawarkan menerusi MARA Career Crafting 2026 yang menghubungkan graduan, pencari kerja dan bakat berkemahiran secara langsung dengan majikan daripada pelbagai sektor strategik.
Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu dilaksanakan di lima zon seluruh negara bagi membantu peserta mendapatkan pekerjaan, mengenal pasti kemahiran yang diperlukan industri serta meneroka laluan kerjaya berpotensi.
Ahli Majlis MARA, Datuk Rosni Sohar berkata, Career Crafting 2026 bukan sekadar karnival kerjaya, sebaliknya platform strategik untuk merapatkan jurang antara pendidikan dengan keperluan sebenar industri.
“Penglibatan industri secara langsung memberi peluang kepada peserta mengenal pasti ruang kerjaya yang bersesuaian dengan bidang, kemahiran dan potensi masing-masing, di samping membina keyakinan serta mempersiapkan diri menghadapi dunia pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Central Chapter di German-Malaysian Institute (GMI), Bangi.
Central Chapter berlangsung selama dua hari berakhir esok, menghimpunkan pelajar tahun akhir daripada 44 Institusi Pendidikan MARA (IPMa), selain graduan, alumni MARA dan pencari kerja, dengan lebih 60 reruai industri dan pendidikan disediakan.

Lebih 40 syarikat dan majikan daripada sektor pembuatan, automotif, semikonduktor, kejuruteraan, teknologi dan digital, tenaga, penerbangan, pengangkutan, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan profesional mengambil bahagian dalam program itu.
Antara jawatan ditawarkan termasuk jurutera kecerdasan buatan (AI), data, perisian, automasi, mekanikal, elektrik dan proses, selain jurutera kualiti, jurumesin CNC, juruteknik, eksekutif sumber manusia, kewangan dan pemasaran.
Antara syarikat yang menyertai program di GMI termasuk CTRM Holdings, Coca-Cola Bottlers Malaysia, Nexperia Malaysia, KUKA Robot Automation, Prasarana Malaysia, Hartalega NGC, Bermaz Motor Trading, KL-Kepong Oleomas dan VAT Manufacturing.
Rosni berkata, inisiatif itu turut memberi peluang kepada bakal graduan dan lepasan universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi latihan industri dan jawatan peringkat permulaan.
“Pendekatan ini membawa peserta daripada mengenali peluang kepada mendapatkan peluang dengan menggabungkan persediaan kerjaya, pendedahan industri, jaringan profesional, pemadanan pekerjaan dan temu duga dalam satu platform,” katanya.
Selain temu duga secara langsung dan pengambilan segera, program itu menyediakan Zon Tawaran Di Tempat bagi majikan yang bersedia mengeluarkan surat tawaran atau surat hasrat kepada calon yang memenuhi keperluan, selain forum industri mengenai jangkaan majikan, kemahiran masa depan dan trend gaji.
Career Crafting 2026 akan diteruskan menerusi Southern Chapter di TVETMARA Johor Bahru pada 26 dan 27 September, Eastern Chapter di TVETMARA Kemaman pada 17 dan 18 Oktober, Northern Chapter di UniKL Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), Kulim pada 24 dan 25 Oktober serta Borneo Chapter di TVETMARA Bintulu pada tarikh yang akan ditetapkan.-UTUSAN











