Kena ubah, itu sahaja caranya

Kena ubah, itu sahaja caranya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA isu yang menjadi perhatian orang ramai iaitu Budi Madani RON95 dan bil elektrik sudah ditangani oleh kerajaan selepas mendengar keluhan dan mendapat desakan daripada rakyat. Tidak tahu hendak kata sama ada kerajaan sentiasa prihatin atau rakyat yang manja.

Mula-mula kita merungut apabila harga minyak melambung. Apabila kerajaan memperkenalkan subsidi Budi Madani 95, kita lega. Tetapi apabila had kelayakan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter, kita marah.

Sedangkan, data penggunaan sudah diteliti. Memang ada yang terjejas tetapi tidaklah begitu ramai.

Apabila sudah biasa dapat 300 liter, tiba-tiba dikurangkan 100 liter, kita takut tidak cukup. Sebenarnya, ramai yang masih ada baki menjelang hujung bulan.

Justeru, apabila kuota dinaikkan semula kepada 300 liter, ramai yang gembira tetapi itu bukan alasan untuk kita gunakan sehingga habis semua kuota. Bijak dalam penggunaan bahan api mesti diterapkan dalam diri kerana ketegangan geopolitik Asia Barat masih berlarutan. Bila-bila masa harga minyak dunia boleh melambung.

Terbaharu ialah bil elektrik. Ini memang menjadi isu hangat. Media sosial menjadi platform meluahkan rasa tidak puas hati. Ramai yang terkejut melihat jumlah bil masing-masing. Dulu kita tidak pernah ambil kisah tentang bil. Kita bayar sahaja. Tidak banyak soal jawab selagi bil dalam jumlah yang dirasakan wajar.

Tiba-tiba, dalam dua tiga bulan ini bil elektrik melambung. Bila tengok bil, ada macam-macam caj. Caj Tenaga, Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Kapasiti, Caj Rangkaian, Caj Peruncitan, Cukai Perkhidmatan dan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB). Itu yang buatkan ramai terkejut.

Elektrik adalah keperluan. Apabila perkara yang ada hubung kait secara langsung dengan pengguna dan menjadi kebiasaan ini terganggu, semua akan ‘bising’. Salahkan semua pihak kecuali diri sendiri.

Sekali lagi kerajaan ambil berat keluhan rakyat. Kerajaan putuskan, kadar perlindungan subsidi elektrik dinaikkan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sehingga Disember ini. Tetapi harus diingat, bukan selamanya kerajaan boleh bertindak begitu. Sekali lagi kita perlu bertindak bijak, elak membazir dan ubah cara kita jalani kehidupan harian.

Sebenarnya, ramai yang berjaya mengawal bil elektrik mereka dengan mengambil beberapa langkah penjimatan. Semua orang tahu bagaimana untuk menjimatkan penggunaan elektrik tetapi ramai yang pilih untuk tunjuk rasa marah. Sedangkan, sejak dulu, kempen berjimat-cermat dan gunakan tenaga dengan bijak sudah ada.

Skim Time of Use (ToU) yang ditawarkan TNB juga adalah langkah penjimatan yang harus dimanfaatkan. Tarif di bawah ToU lebih rendah jika di luar waktu puncak. Luar waktu puncak juga panjang iaitu 12 jam sehari dari 10 malam hingga 2 petang dan sepanjang hujung minggu dan cuti umum.

Sesuaikan waktu aktiviti kita dengan ToU, selain beralih kepada peralatan cekap tenaga. Muat turun aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan secara harian dan bulanan. Kena ubah, itu sahaja caranya. – UTUSAN

Ismail Daud adalah Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

×