Bekas pegawai bank mengaku salah gagal lapor suapan

Bekas pegawai bank mengaku salah gagal lapor suapan

Suapan pegawai bank
SITI Zuraida Mohd. Zulkifli diiringi pegawai SPRM meninggalkan kamar Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah atas pertuduhan gagal melaporkan suapan, di Shah Alam, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai bank mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan suapan yang diterimanya kepada pihak berkuasa.

Tertuduh, Siti Zuraida Mohd. Zulkifli, 40, membuat pengakuan demikian selepas dituduh menerima RM2,100 dan diperintah membayar denda sebanyak RM6,000.

Mengikut pertuduhan, Siti Zuraida didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,100 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya daripada akaun sebuah firma guaman sebagai upah mencadangkan firma tersebut menyediakan dokumen pembiayaan rumah.

Kesalahan itu dilakukan di cawangan sebuah bank di Seksyen 13 pada 19 Ogos 2020.

Perbuatan tersebut melanggar Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan pemberian suapan kepada pegawai SPRM atau polis dengan seberapa segera seperti dikehendaki subseksyen 25(1) akta sama.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah subseksyen 25(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim, Datuk Mohd. Nasir Nordin dalam penghakimannya memberi peringatan kepadanya supaya harta yang diperoleh perlu datang dari sumber yang betul.

“Makanlah daripada harta yang betul dan bukan secara batil,” jelasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, Peguam Wan Idi Amin Wan Ibrahim dalam rayuannya memohon denda minimum terhadap tertuduh yang kini merupakan suri rumah yang membenarkan empat anak berusia 4 hingga 13 tahun.

“Tertuduh masih perlu menjalani rawatan bulanan dengan kos RM500 meskipun sudah menjalani pembedahan tiroid. Tertuduh juga mengambil pengajaran daripada kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee menegaskan tindakan tertuduh telah menidakkan peluang firma guaman lain hasil ganjaran diterima daripada firma guaman terlibat.

Justeru beliau mencadangkan denda antara RM5,000 hingga RM8,000 mengikut budi bicara mahkamah.

Untuk rekod, Siti Zuraida antara individu yang ditahan dalam Op Tiger dijalankan SPRM bagi membanteras rasuah sistemik dalam institusi kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×