KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) kini memasuki tahap baharu apabila teknologi itu bukan lagi sekadar berfungsi sebagai alat bantuan, malah mampu mengendalikan sebahagian tugasan dalam organisasi dengan keperluan campur tangan manusia yang semakin minimum.
Kemunculan ejen AI membolehkan teknologi berkenaan mentafsir maklumat, berhubung dengan pelbagai perisian serta melaksanakan tugasan yang mempunyai beberapa peringkat secara automatik, sekali gus mengubah pendekatan organisasi dalam mengurus operasi harian.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exodus Markets, Kezy Chong berkata, perkembangan itu menuntut organisasi menilai kembali proses kerja sedia ada bagi memastikan keupayaan AI dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, fokus organisasi tidak seharusnya terbatas kepada bagaimana pekerja menggunakan AI, sebaliknya perlu melihat cara teknologi berkenaan boleh disepadukan ke dalam sistem, proses serta mekanisme membuat keputusan yang menjadi penggerak perniagaan.
“Transformasi sebenar berlaku apabila AI dihubungkan dengan sistem, proses dan keputusan yang menggerakkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, penerapan AI tidak bermakna peranan tenaga kerja semakin terpinggir, sebaliknya teknologi itu boleh mengambil alih tugasan berulang supaya pekerja dapat menumpukan perhatian kepada tugas yang memerlukan pertimbangan serta kepakaran manusia.

Sehubungan itu, Exodus Markets memperkenalkan Program Exodus A.C.T. yang memberi fokus kepada usaha mengenal pasti proses kerja yang mempunyai potensi untuk dipertingkatkan melalui penerapan AI.
Program berkenaan merekodkan lebih 5,000 permohonan dalam tempoh beberapa bulan, mencerminkan minat organisasi terhadap penggunaan AI yang semakin berkembang daripada fungsi asas seperti menghasilkan kandungan dan mendapatkan maklumat.
Dalam perkembangan sama, syarikat turut memberi tumpuan kepada penggunaan automasi menerusi ejen AI dalam beberapa bidang termasuk pengurusan maklumat, pemesejan, khidmat pelanggan dan pemasaran.
Berdasarkan data dalaman Exodus Markets, penerapan beberapa penyelesaian automasi dalam aliran kerja terpilih membantu mengurangkan kebergantungan kepada tugasan manual, selain meningkatkan kecekapan lebih 50 peratus.
Kezy yang juga penerima anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2025 berkata, manfaat AI lebih jelas untuk diukur apabila teknologi itu digunakan bagi menyelesaikan tugasan yang sebelum ini mengambil masa panjang serta memerlukan penyelarasan manusia.
“Apabila proses yang mengambil masa berjam-jam dapat dipendekkan dengan ketara, ketika itu AI mula menghasilkan nilai yang boleh diukur,” katanya.
Perkembangan itu memperlihatkan bahawa persaingan perniagaan pada masa depan bukan sekadar bergantung kepada tahap kecanggihan teknologi AI, malah keupayaan organisasi menyesuaikan struktur serta kaedah kerja dengan perubahan yang dibawa teknologi berkenaan. – UTUSAN











