KOTA TINGGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan sama ada hendak menerima atau tidak peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang diumumkan semalam.
Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut walaupun sama-sama berada dalam jemaah Kabinet.
“Saya pun tidak tahu, nak letak jawatan ke atau nak tawarkan diri letak jawatan atau nak apa. Tentunya semua tahu pada akhirnya itu adalah keputusan Perdana Menteri.
“Soal DAP itu terserah kepada mereka, apa mesej yang hendak mereka beri, itu terserah. Hal dialah, nak letak jawatan ke, nak panjat pokok ke itu hal dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian selepas diminta mengulas pengumuman peletakan jawatan dibuat Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP susulan keputusan pengampunan bersyarat diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, Siew Fook dilaporkan berkata, tawaran peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala wakil DAP lain akan terus kekal dalam kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini peletakan jawatan hanya membabitkan diri saya sebagai anggota Jemaah Menteri dan pemegang jawatan lain daripada DAP masih kekal dalam kerajaan.
“Anggota Jemaah Menteri lain yang mewakili DAP termasuk menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan lain akan kekal berada dalam kerajaan buat sementara waktu,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib di Ibu pejabat DAP.-UTUSAN










