PETALING JAYA: Seorang wanita lemas selepas terjatuh dari bot rafting ketika menyertai aktiviti berakit secara berkumpulan di Sungai Pertak Kuala Kubu Bharu dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 34 tahun dikatakan terjatuh bersama lima rakannya selepas bot rafting yang dinaiki mereka terbalik ketika melalui jeram pertama.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 3.52 petang.
Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.
“Menurut rakan mangsa, bot rafting dinaiki serta lima rakan lain terbalik dan terjatuh.
“Mangsa didapati tersangkut di dasar sungai sebelum beberapa rakan cuba mengeluarkannya daripada halangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba membantu membawa mangsa ke lokasi selamat di Kem Rimbayu yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN











