KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Malaysia Sarong Music Run 2026 yang berlangsung di sini hari ini.
Acara larian berkenaan disempurnakan pelepasannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
“Terima kasih semua rakyat yang muda, yang dewasa, wanita, semangat jaga badan, sihat badan, jaga negara Malaysia yang tercinta.
“Jom kita lari dengan sarung sama-sama,” katanya sebelum acara larian bermula.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Sarong Music Run memasuki edisi ketiga penganjurannya. Para peserta menyertai dua kategori larian iaitu sejauh tiga dan lima kilometer yang membawa mereka mengelilingi kawasan pusat bandar.
Penganjuran Malaysia Sarong Music Run 2026 turut menyaksikan peserta tampil mengenakan sarung dalam pelbagai corak dan warna, sekali gus menyerlahkan keunikan elemen budaya tempatan dalam acara berkenaan.
Acara itu bukan sahaja mengetengahkan aspek kecergasan dan gaya hidup sihat, malah menjadi platform menyatukan masyarakat menerusi elemen muzik, budaya dan komuniti. – UTUSAN











