Nahas 15 kenderaan: Kemalangan 12 motosikal di Jelapang-Ampang, polis belum sahkan lumba haram

Nahas 15 kenderaan: Kemalangan 12 motosikal di Jelapang-Ampang, polis belum sahkan lumba haram

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Polis belum mengesahkan nahas membabitkan kira-kira 12 motosikal dan tiga kereta di laluan lama Jelapang-Ampang, awal pagi tadi, berpunca daripada aktiviti lumba haram.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya masih menyiasat pergerakan kumpulan penunggang motosikal berusia antara 19 hingga 25 tahun itu sebelum dapat menentukan punca sebenar kejadian.

Menurutnya, polis juga belum mengambil keterangan daripada penunggang yang masih menerima rawatan di hospital bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian.

“Kita belum ambil keterangan mereka yang sedang dirawat. Apabila keadaan mengizinkan untuk kami mengambil keterangan, daripada keterangan itu kita boleh merungkai apa sebenarnya berlaku,” katanya ditemui pada Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita dan Sesi Diskusi Town Hall Ketua Polis Perak di Dewan Bandaran Kinta di sini hari ini.

Beliau berkata, nahas berlaku kira-kira jam 3.35 pagi selepas sebuah kereta terlebih dahulu terbabit dalam kemalangan dan berada di laluan kenderaan lain.

Katanya, keadaan pencahayaan yang mungkin tidak mencukupi di lokasi dipercayai menyebabkan kumpulan motosikal terbabit melanggar kenderaan yang sudah berada di laluan berkenaan.

“Lebih awal daripada situ sudah ada kemalangan kereta yang menyebabkan kereta itu berada di laluan-laluan kenderaan yang lain.

“Dalam keadaan pencahayaan yang mungkin tidak cukup terang, menyebabkan segerombolan anak muda ini menunggang motosikal dan melanggar kereta-kereta yang telah ada di situ,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penunggang motosikal itu bergerak dalam jumlah yang ramai dan dipercayai berada pada jarak yang rapat antara satu sama lain sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku secara berantai.

“Lebih kepada mereka ini ramai dan rapat. Bila mula satu kena, yang lain turut kena,” katanya.

Kumpulan berkenaan difahamkan datang dari kawasan 7-Eleven di Meru Jaya, namun polis masih belum mengetahui destinasi mereka ketika kejadian.

Katanya, lokasi nahas berkenaan juga bukan antara laluan yang paling popular bagi aktiviti lumba haram berdasarkan rekod polis, dengan terdapat dua lokasi lain yang lebih kerap dikenal pasti bagi aktiviti berkenaan di Ipoh.

“Untuk lebih awal saya cakap mereka merempit, saya tidak dapat nak jawab lagi. Mungkin mereka tengah malam balik dalam tempoh yang ramai dan lebih awal daripada itu berlaku kemalangan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjalankan 408 operasi berkaitan aktiviti lumba haram di Perak sepanjang tahun ini.

Katanya, operasi berkenaan membawa kepada 404 tangkapan, dengan lebih 200 daripadanya dilakukan di Ipoh.

Dalam kejadian itu, tiga penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, sementara sembilan lagi penunggang motosikal dirawat di hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×