Platform e-hailing, p- hailing sumbang RM1.5 juta lindungi 500 pekerja gig

Platform e-hailing, p- hailing sumbang RM1.5 juta lindungi 500 pekerja gig

R. RAMANAN bersama pemandu p-hailing semasa Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall Kota Damansara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih RM1.5 juta sumbangan disalurkan penyedia platform e-hailing dan p-hailing bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial pekerja gig di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, daripada jumlah itu, Foodpanda menyumbang RM1 juta, Grab RM500,000 dan Halo RM14,412.40.

Katanya, sumbangan keseluruhan bernilai RM1,514,412.40 itu akan memberi manfaat kepada 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

“Di sebalik setiap rider dan pemandu ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka. Sebab itu perlindungan sosial bukan perkara diambil ringan. la adalah jaringan keselamatan amat penting apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

“Justeru, kerjasama seumpama itu menunjukkan kerajaan dan industri boleh bergerak bersama untuk memastikan pekerja gig bukan sahaja mempunyai peluang mencari pendapatan tetapi turut mempunyai perlindungan,” katanya ketika merasmikan Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall Kota Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Festival Mega iLINDUNGu yang bermula Jumaat lalu menyediakan kaunter khas Opt-In LINDUNG 24 Jam sekali gus membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan berkenaan mendaftar semula secara terus.

Majikan pula berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) manakala pengunjung boleh membuat semakan caruman, mendapatkan khidmat nasihat berkaitan faedah serta mendaftar skim PERKESO.

Sempena festival itu, Ramanan turut menyalurkan RM48,000 menerusi LINDUNG Kasih Suri Rumah sekali gus memperluas manfaat perlindungan kepada 400 penerima suri rumah.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, setakat ini, sebanyak 87 peratus pekerja mencarum dalam skim ILINDUNGu yang diperkenalkan tahun lalu, manakala hanya 13 peratus tidak mencarum.

“Saya berharap mereka dapat mempertimbangkan kepentingan skim ini sebagai satu langkah untuk melindungi diri, keluarga dan insan tersayang.

“Apabila berlaku kemalangan atau sesuatu kejadian di luar jangkaan, mungkin sudah terlambat untuk kita menyesal atau memikirkan tentang perlindungan yang sepatutnya ada. Ini merupakan satu peluang dengan kos yang kecil untuk mendapatkan perlindungan kepada diri sendiri dan orang yang kita sayangi. Jadi, ambillah peluang ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, menerusi MYFutureJobs sebanyak 25 majikan menyertai festival berkenaan yang berlangsung sehingga esok (Ahad) dengan menawarkan 2,000 kekosongan pekerjaan dengan gaji antara RM2,000 hingga RM12,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×