KUALA LUMPUR: Rekod khidmat Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem sepanjang hampir lima tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong menjadi sandaran sokongan pengundi dalam menghadapi usaha DAP merampas semula kerusi kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Aktivis bebas, Harik Fauzi yang tampil mempertahankan Mohd Noor Helmy berkata, beliau menyaksikan sendiri komitmen wakil rakyat itu dalam menyantuni dan membantu masyarakat sejak 2021.
Beliau berkata, pendiriannya bukan dibuat semata-mata kerana musim pilihan raya, sebaliknya berdasarkan pengalamannya bersama Mohd Noor Helmy dalam pelbagai kerja kemasyarakatan.
“Salah orang mereka mahu lawan, saya bukan bercakap kerana musim pilihan raya. Saya bercakap berdasarkan apa yang saya sendiri lihat dan alami sepanjang hampir lima tahun mengenali beliau,” katanya.
Terdahulu Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, parti itu melihat Duyong sebagai antara kawasan berpotensi untuk dirampas daripada Barisan Nasional (BN) yang kini disandang Mohd Noor Helmy.
Harik yang juga Pengasas Yayasan Harik berkata, walaupun menetap di Kuala Lumpur, beliau sanggup berulang-alik ke Melaka untuk bersama-sama membantu masyarakat di Duyong.
“Saya melihat sendiri bagaimana Helmy mengambil cakna permasalahan rakyat, mendengar aduan dan berada di lapangan bersama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan Mohd Noor Helmy dengan majoriti 200 undi pada PRN Melaka 2021 bukan lagi satu-satunya ukuran, sebaliknya rekod perkhidmatan sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat turut perlu dinilai.
“Bagi saya, ini bukan sekadar soal mempertahankan sebuah kerusi. Ini soal mempertahankan budaya politik yang meletakkan khidmat kepada rakyat sebagai ukuran utama.
“DAP boleh menawarkan calon mereka, Helmy pula mempunyai rekodnya untuk dinilai. Akhirnya, rakyat Duyong sendiri yang akan membuat keputusan melalui peti undi,” katanya.











