PETALING JAYA: Selepas dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah, penyanyi, Yasin Sulaiman, menegaskan dia tidak lagi mahu melanggar mana-mana undang-undang.
Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 51, berkata, pengalaman yang dilaluinya menjadi pengajaran terbesar sehingga membuatkan dia memilih untuk mematuhi setiap undang-undang, walau apa jua keadaannya.
“Sudah tentu saya ambil banyak pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Saya tidak akan langgar undang-undang lagi.
“Saya tidak akan langgar mana-mana undang-undang di Malaysia, sama ada undang-undang itu betul atau tidak, tidak berapa cantik atau apa sekali pun.
“Asalkan benda itu undang-undang, saya tidak akan langgar, walaupun lampu isyarat merah,” katanya.
Yasin berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Yang Tinggal, di Herritage Club, Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Yasin, perkara pertama yang dilakukan selepas dibebaskan ialah bertemu anak-anak serta keluarganya yang selama ini menanti kepulangannya selama lebih kurang empat tahun.
“Sudah tentu saya jumpa anak-anak dan keluarga. Itu perkara pertama yang saya lakukan.
“Mereka lega dan kasihan melihat saya berada di dalam selama lebih kurang empat tahun. Sekarang mereka gembira, Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Yasin berkata, perjalanan sepanjang kes itu ibarat satu perkara turun naik yang tidak menentu apabila keputusan yang diterimanya sering berubah-ubah.
“Perjalanan itu naik turun, sekejap bebas, sekejap masuk, sekejap bebas. Kejap kena 30 tahun, kejap berubah.”
“Ia ibarat satu perjalanan yang berliku yang sangat memenatkan dari segi emosi, bukan untuk saya sahaja tetapi untuk keluarga saya juga. Sekarang semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Terdahulu, pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir dikemukakan komposer terbabit.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.











