GEAR capai kadar pengambilan slot melebihi 90 peratus

GEAR capai kadar pengambilan slot melebihi 90 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan GiCheck Early Access Reservation (GEAR) yang diperkenalkan oleh Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) menerima sambutan pasaran dengan kadar pengambilan slot melebihi 90 peratus sejak pelaksanaan awalnya.

Inisiatif berasaskan keperluan pelanggan itu mendapat permintaan yang tinggi, khususnya daripada sektor kenderaan terpakai, kerana ia membolehkan pelanggan mendapatkan akses yang lebih pantas kepada temu janji pemeriksaan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, sambutan yang diterima GEAR membuktikan kepentingan mendengar keperluan pelanggan dan menyesuaikan perkhidmatan mengikut perubahan kehendak pasaran.

“GEAR diperkenalkan kerana pelanggan kami memaklumkan bahawa mereka memerlukan lebih fleksibiliti.

“Kami melihat wujud permintaan yang jelas, khususnya daripada industri kenderaan terpakai, di mana pengedar dan pelanggan mereka sering perlu menyelesaikan proses pemeriksaan dalam tempoh yang singkat.

“Peranan kami adalah untuk memahami keperluan tersebut dan mencari penyelesaian praktikal bagi meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sambutan itu turut membuktikan bahawa pelanggan menghargai pilihan tambahan apabila mereka memerlukan pemeriksaan dalam tempoh yang lebih segera.

“Pada masa yang sama, sistem tempahan biasa kami terus beroperasi seperti biasa dan pelanggan masih boleh menggunakan saluran tempahan standard mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

GEAR dibangunkan sebagai respons kepada maklum balas berterusan daripada pengedar automotif dan pengendali armada yang memerlukan tempoh pemprosesan yang lebih pantas bagi memastikan operasi perniagaan berjalan dengan lebih cekap.

Dengan menyediakan satu lagi pilihan akses digital premium untuk pemeriksaan kenderaan, Puspakom berjaya menawarkan akses kepada temu janji yang lebih awal tanpa menjejaskan ketersediaan slot tempahan biasa untuk orang ramai.

Perkhidmatan itu mula diperkenalkan pada Julai 2026 sebagai pilihan tempahan premium sebelum diperluaskan ke seluruh negara susulan kejayaan program perintis yang mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Sepanjang pelaksanaan perintis di enam cawangan, GEAR merekodkan kadar tempahan sebanyak 98 peratus, kadar kehadiran pelanggan hampir 95 peratus serta purata masa pemeriksaan selama 35 minit, sekali gus melepasi sasaran utama dari segi operasi, pengalaman pelanggan dan prestasi perniagaan.

Berikutan kejayaan itu, GEAR diperluaskan ke 23 cawangan lain lebih awal daripada jadual pelaksanaan asal.

Mahmood berkata, GEAR pada asasnya merupakan satu inisiatif akses temu janji, manakala proses pemeriksaan kenderaan itu sendiri terus dilaksanakan mengikut keperluan dan piawaian pemeriksaan yang ditetapkan.

“GEAR tidak mengubah proses pemeriksaan itu sendiri. Kenderaan tetap menjalani proses pemeriksaan berdasarkan keperluan, piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

“Apa yang kami sediakan adalah laluan digital yang lebih pantas bagi memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan temu janji lebih awal, di samping mengurangkan kebergantungan kepada pihak perantara untuk mendapatkan slot pemeriksaan,” katanya.

Nilai yang dibawa oleh GEAR bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan individu, malah turut membantu memperkemas urusan dalam ekosistem perdagangan kenderaan terpakai apabila akses kepada temu janji pemeriksaan yang lebih pantas dapat diperoleh. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×