PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Asian Banking School (ABS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan kerangka pensijilan profesional penasihat kekayaan pertama yang diiktiraf industri di Malaysia.
Kerangka kerja yang dikenali sebagai Program Pensijilan Pengurusan dan Penasihat Kekayaan ABS itu bertujuan menetapkan standard kompetensi khusus bagi profesional penasihat kekayaan dalam sektor perbankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, kerjasama itu membolehkan Maybank menyumbang pengalaman melangkaui organisasi bagi meningkatkan standard profesional di Malaysia.
“Maybank terus melabur dalam membangunkan profesional kekayaan kami menerusi Maybank Wealth Academy bagi membina keupayaan penasihatan holistik yang memenuhi keperluan kewangan pelanggan.
“Peluang ini turut membuka ruang untuk memeluaskan elemen program berkenaan ke peringkat serantau dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ABS, Profesor Dr. Manivanan Saman berkata, gabungan kepakaran ABS dan pengalaman praktikal Maybank bertujuan mewujudkan laluan kredibel yang memberikan penanda aras lebih jelas kepada profesional kekayaan.
“Maybank bertindak sebagai Rakan Industri Pengasas dengan menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan bakat, manakala ABS membawa kepakaran dalam pembangunan dan pensijilan perbankan profesional,” katanya.
Pengambilan pertama bagi program berkenaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2027, dengan Maybank berhasrat mengintegrasikannya ke dalam Maybank Wealth Academy.
Langkah berkenaan memperkukuh francais pengurusan kekayaan Maybank yang baru-baru ini dinamakan sebagai Bank Swasta Terbaik Malaysia 2026 oleh Euromoney serta Bank Pengurusan Kekayaan Terbaik di Malaysia oleh Alpha Southeast Asia bagi tahun ke-10 berturut-turut. –UTUSAN










