LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan bertindak menukar sekolah anak-anak mereka atas faktor keselamatan, hanya beberapa hari selepas sesi persekolahan bermula di England berikutan keputusan pasangan itu berpindah semula ke Britain.
Pasangan Diraja berkenaan sebelum ini meninggalkan Britain dan melepaskan jawatan sebagai kerabat diraja bertugas pada 2020 berikutan perselisihan keluarga.
Putera Harry kemudiannya terlibat dalam tindakan undang-undang berlanjutan bagi mengekalkan kawalan keselamatan tajaan pembayar cukai Britain ketika menetap di California, namun permohonan tersebut gagal.
Sekembalinya ke Britain bersama anak lelaki mereka, Putera Archie yang berusia tujuh tahun dan anak perempuan, Puteri Lilibet yang berusia lima tahun, Putera Harry dilaporkan terus mendesak agar perlindungan polis diberikan semula kepada keluarganya.
Mereka memilih untuk menetap di kawasan Cotswolds, sebuah wilayah di tengah England yang popular dalam kalangan golongan ternama, serta mendaftarkan kedua-dua anak mereka di sebuah sekolah swasta yang tidak didedahkan namanya.
Menurut laporan majalah Hello!, faktor jarak perjalanan yang jauh serta kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang laluan ke sekolah tersebut telah menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan.
Jurucakap bagi pasangan Duke and Duchess of Sussex mengesahkan keputusan pemindahan sekolah itu dibuat selepas perbincangan bersama pasukan keselamatan keluarga bagi menilai kebolehlaksanaan susunan kawalan sedia ada.
Ketika ini, Putera Harry dan keluarganya mengunakan perkhidmatan pengawal keselamatan swasta. Bagaimanapun, beliau dilaporkan telah meminta kerajaan Britain campur tangan bagi menyediakan perlindungan polis rasmi.
Jawatankuasa Eksekutif Diraja dan VIP Britain (Ravec) yang bertanggungjawab ke atas kawalan keselamatan tokoh awam dan kerabat diraja mengadakan mesyuarat minggu lalu bagi membincangkan isu berkenaan sempena sambutan ulang tahun kelahiran Putera Harry yang ke-42.
Sementara itu, Raja Charles III menegaskan Putera Harry dan Meghan tidak lagi dianggap sebagai kerabat diraja yang menjalankan tugas rasmi selepas kepulangan mereka dari Amerika Syarikat (AS). -AGENSI










