WASHINGTON: Seorang ahli perniagaan Russia yang mempunyai hubungan dengan Kremlin membiayai majlis sambutan selepas perkahwinan anak sulung Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menurut pasangan itu.
Donald Trump Jr. dan Bettina Trump dalam hantaran yang ditandatangani bersama di akaun Instagram Bettina berkata, ‘sahabat baik’ mereka, Umar Kremlev, dengan sangat murah hati menganjurkan dua malam sambutan luar biasa di Bahamas pada Mei.
Pengesahan itu dibuat selepas laman web penyiasatan ProPublica melaporkan Kremlev menanggung kos ratusan ribu dolar untuk majlis berkenaan.
“Hadiah perkahwinan itu sangat bermakna daripada seorang sahabat dan sesuatu yang kami sangat hargai, malah masih kami hargai sehingga kini,” menurut hantaran Bettina dan Don Jr.
Trump tidak menghadiri perkahwinan atau sambutan berkenaan, mendakwa beliau perlu kekal di Washington bagi mengadakan rundingan berkaitan perang Iran.
Kremlev merupakan ketua Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA), namun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa memutuskan hubungan dengannya selepas beberapa kali diberi amaran berhubung tadbir urus kewangan dan kebimbangan etika.
Presiden Russia, Vladimir Putin, menganugerahkan Kremlev Darjah Persahabatan pada April, menurut kenyataan IBA yang turut memaparkan gambar kedua-duanya berjabat tangan.
Laman web IBA turut memaparkan gambar Donald Trump Jr. bersama Kremlev di pentas pada satu acara di Istanbul pada September 2025.
Hantaran Instagram Bettina itu disertai 20 gambar, termasuk gambar pasangan pengantin baharu itu di pantai serta gambar anak-anak Trump yang lain, Eric Trump, Ivanka Trump dan Tiffany Trump.
“Malangnya, sesuatu yang begitu peribadi dan menggembirakan boleh ditafsirkan semula sebagai sesuatu yang berunsur politik atau mencurigakan hanya kerana siapa seseorang itu atau dari mana asalnya,” menurut hantaran tersebut.-AFP










