Kakak hidap hipertiroid tetap gigih jaga adik terlantar

Kakak hidap hipertiroid tetap gigih jaga adik terlantar

SUPIANAH Sulaiman menjaga adik lelakinya, Mohd. Shariy Sulaiman yang kini terlantar dan memerlukan bantuan akibat penyakit di Sungai Tangkas Kajang, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Masalah hipertiroid yang dihidapi tidak menghalang Supianah Sulaiman, 55, untuk kembali bekerja demi menanggung keperluan adiknya, Mohd. Shariy Sulaiman, 53, yang kini terlantar selepas mengalami masalah kesihatan serius.

Supianah berkata, seluruh pendapatannya kini banyak digunakan untuk membeli susu, ubat-ubatan dan keperluan penjagaan Mohd. Shariy yang memerlukan perhatian 24 jam.

“Walaupun saya tidak sihat, saya tetap bekerja sebab mahu tolong adik saya.

“Susah macam mana pun, saya tidak boleh biarkan adik macam itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Shariy sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dikenali sebagai seorang yang ceria, walaupun disahkan menghidap tiroid beberapa tahun lalu.

Kesihatannya mula merosot sejak beberapa tahun lalu apabila berat badannya meningkat dan suaranya hilang, sebelum akhirnya rebah ketika berada dalam kereta selepas tamat bekerja.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh selepas keadaan kesihatannya merosot, termasuk mengalami masalah oksigen yang teruk.

Menurut Supianah, jantung adiknya turut terhenti kira-kira 10 minit sebelum berjaya dihidupkan semula melalui CPR.

Mohd. Shariy menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira dua bulan bermula April lalu dengan doktor memaklumkan peluang untuk pulih hanya sekitar satu peratus sebelum keluarga bersetuju menjalani prosedur tebuk saluran pernafasan.

“Selepas keluar hospital, Mohd. Shariy memerlukan penjagaan seperti bayi termasuk bantuan oksigen 24 jam, penyedutan kahak, penjagaan luka serta pengurusan tiub kencing.

“Kos susu sahaja mencecah RM500 hingga RM600 sebulan, manakala perbelanjaan ubat-ubatan, keperluan penjagaan luka dan bayaran jururawat menyebabkan keseluruhan kos penjagaannya melebihi RM2,000 sebulan,” katanya yang juga ibu tunggal.

Bil elektrik turut meningkat kerana peralatan oksigen dan mesin penyedut perlu digunakan sepanjang masa, manakala keluarga juga berdepan kos ambulans yang boleh mencecah ratusan ringgit hingga RM1,000 kerana keadaan Mohd .Shariy memerlukan bekalan oksigen.

Bagi menampung keperluan tersebut, Supianah pernah meminjam wang daripada majikan, manakala anak sulungnya, Fify Sazuanan Azman, 35, tidak dapat bekerja kerana turut membantu menjaga Mohd. Shariy.

Dalam pada itu, Supianah berkata, keluarga kini sedang mengusahakan permohonan bantuan zakat selain mendapatkan sokongan daripada NGO, namun keperluan adiknya yang memerlukan penjagaan sepanjang masa menyebabkan bantuan sedia ada masih belum mencukupi.

Katanya, antara keperluan yang amat diperlukan ketika ini ialah bekalan oksigen tambahan bagi menghadapi keadaan kecemasan.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Supianah di talian 017-3289295 atau di nombor akaun 12122020421412 (Bank Islam). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×