PETALING JAYA: Jenazah pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, dan juruterbang helikopter BO 105S, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.
Jenazah Dr. Ainul Baraah dijangka tiba di Masjid Al-Karamah, Kampung Baung, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Ahli keluarga terdekat Allahyarham bagaimanapun berkata, waktu ketibaan itu masih tertakluk kepada jadual penerbangan yang ditetapkan pihak berwajib di Sarawak.
Katanya, sebaik tiba Kelantan, jenazah dijangka dibawa ke Masjid Al-Karamah, Kampung Baung, Kota Bharu untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper.
“Apabila tiba di Kelantan, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Karamah, Kampung Baung kira-kira pukul 12 tengah hari untuk disolatkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Sementara itu, jenazah Zainol Afiq akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan selepas proses pengesahan identiti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai.
Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, keputusan DNA dimaklumkan kepadanya semalam dan keluarga kini bersedia menerima kepulangan jenazah anaknya untuk urusan pengebumian.
“Hari ini (semalam) dimaklumkan keputusan DNA diperoleh. Kalau semuanya selesai, jenazah akan dibawa pulang dan segala persiapan sudah pun dibuat,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba dari Sarawak, jenazah anaknya akan dibawa terus ke Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Seremban kira-kira pukul 5.30 petang.
Bee Sham bersama isterinya dan besan sebelum ini berangkat ke Sarawak sejak Rabu lalu bagi menunggu proses pengesahan identiti, selepas sampel DNA mereka diambil sebaik tiba di negeri berkenaan.-UTUSAN










