INGATAN itu seperti keladak di dasar parit – apabila ditelusuri semula, ia mengapung, menghadirkan semula serpihan waktu yang telah lama dipadam musim.
Aku masih ingat bait-bait zaman lalu. Ketika air parit di tengah kampung ini masih berkaca jernih, mengalir bagai urat nadi yang memberi hidup. Penduduk kampung datang membawa pengandar, kampit mengkuang, serta umpan telur kerengga dan cacing. Di sinilah buana kecil tempat pelbagai unggas air dan ikan air tawar menari-nari, menjadi rezeki yang disaring dari tebing.
Arwah tokwanku, sebelum disengat wabak yang merenggut nyawa, adalah sahabat paling setia kepada aliran ini. Kail, jala, dan taut adalah jemari sekundernya. Setiap senja, di tebing yang basah, dia memanggil rezeki untuk mengasapi dapur kami.
Namun, waktu pernah menjadi kelam. Parit yang sama suatu ketika dulu rebah, sarat ditimbuni muntah kumbahan babi dan najis liar dari ladang-ladang haram di hulu. Bau kohong merajai udara, sampah sarap terapung bagai bangkai ketelanjuran manusia. Parit itu bertukar menjadi takungan duka; tempat nyamuk membiak dan demam berdarah bermaharajalela.
Hari itu aku sedar, kampung ini tidak sesuci karangan sekolah yang sering kami tulis atas arahan guru bahasa Malaysia. Tajuk ‘Bercuti di Kampung Nenek’ yang selalunya dihiasi pepohon hijau dan sungai jernih hanyalah ilusi kertas. Parit ini mengajar aku hakikat yang pahit: bumi boleh cacat apabila diguris oleh tangan-tangan manusia yang rakus dan membutakan mata demi kesenangan singkat.
Di hulu parit itu, sejarah pernah menitiskan darah dan air mata. Malapetaka Virus Nipah bertandang tanpa diundang, menghembuskan nafas kematian yang menjangkau usia – tua, muda, lelaki, wanita, semuanya rebah dalam senyap. Negeri ini hampir hilang nadinya. Penternakan babi secara kotor di bahagian hulu bukan sahaja menebarkan bau busuk yang menikam hidung, tetapi menjadi sarang lahirnya maut yang halimunan.
Daripada bisikan rakan-rakan, tragedi itu bermula apabila haiwan-haiwan di hulu mula bertingkah aneh. Bukan mati tersungkur secara lazim, tetapi batuk keras bagai menyalak, nafasnya berdecit kasar, tubuh menggeletar hilang pasak, malah ada yang dipukul sawan serta darah mengalir lesu dari rongga hidung. Litar saraf haiwan itu seolah-olah diputus lebur. Tidak lama kemudian, igauan itu berpindah melompati spesies – mengetuk pintu rumah manusia.
Para doktor kebingungan. Mangsa-mangsa dalam kalangan warga kampung menunjukkan tanda yang serupa. Seperti yang meragut nyawa tokwanku; suhu tubuh melambung membakar, kepala serasa dicengkam godam, fikiran meracau keliru, sebelum akhirnya gelita koma merenggut kesedaran. Ramai yang tewas bukan kerana paru-paru yang goyah, tetapi kerana otak yang berhenti berdenyut. Ensefalitis – radang otak yang ganas, menjemput maut dengan kepatuhan yang mengerikan.
Awalnya, sangkaan terbabas. Pihak kesihatan menduga ia sekadar Japanese Encephalitis (JE), penyakit sebaran nyamuk yang pernah singgah dulu. Semburan racun dilakukan, kepulan asap fogging berkepul mendadak di serata lorong. Namun, meskipun vaksin disuntik, nyawa tetap melayang. Lebih 25 jasad terbaring di kampungku dalam julat waktu yang amat rapuh.
Apabila benang takdir diurai semula, tabirnya tersingkap: hampir semua mangsa memiliki bayang yang sama. Mereka adalah orang-orang yang disentuh langsung oleh babi – pekerja ladang, pemandu lori, penyembelih, atau jiran yang mendiami batas kandang.
Penyakit ini tidak rambang seperti JE yang menyerang kanak-kanak; ia menyasar mereka yang memegang tubuh haiwan tersebut.
Doktor berkata, virus itu memanjat salur darah menggunakan reseptor ephrin-B2 dan ephrin-B3, merosakkan pusat kawalan manusia. Yang terselamat pula membawa parut hayat – otak yang rosak kekal, bayang sawan, dan jiwa yang tidak lagi sama.
Lalu, sejarah mencatat tindakan paling radik: lebih 1.1 juta nyawa haiwan dimusnahkan. Beratus-ratus ladang diratakan. Rantai pergerakan diputus demi menyelamatkan jutaan nyawa yang berbaki.
“Andot, kamu buat apa di situ?”
Suara Pak Mingkat yang garau membuyarkan lamunanku. Aku tersentak, mendongak menatap wajah veteran itu.
“Err… pakcik tanya apa tadi?” Balasku, cuba mengutip semula fikiran yang berterbangan.
Pak Mingkat tersenyum kecil. “Kamu melamun apa di tepi air itu?”
“Bawa anak menakan ni berjalan-jalan. Banyak dapat ikan hari ini, pakcik?” Mataku mengerling pengandar di bahunya dan kampit mengkuang yang dikelek rapat.
Pak Mingkat – seorang bekas sarjan tentera – pernah menyarung sut Hazmat, melangkah ke ladang-ladang haram di hulu suatu ketika dahulu. Dia tidak menghimpun bala tentera untuk bertempur di garisan sempadan negara, tetapi bertaruh nyawa menembak ribuan babi pembawa virus, menanam bangkai-bangkai itu dalam lubang raksasa demi memadamkan api wabak.
“Bolehlah, rezeki air yang makin pulih,” ujarnya ringkas sembari menyungging senyum.
Aku tidak perlu menyelak isi kampit mengkuangnya. Senyumannya sudah cukup menjadi jawapan. Malam nanti, dari cerobong rumahnya pasti akan terbit aroma puyu garing atau gulai bersantan yang membangkitkan selera.
Langkah kaki terus kubawa bersama anak menakanku menyusuri hilir parit – kawasan yang tidak pernah kurenangi seumur hidupku.
Kami berhenti di bawah rendang pokok gemuyu yang sedang menggugurkan bunga-bunga merahnya ke tanah. Menggunakan kertas pembungkus nasi yang terbiar, kuajari anak menakanku seni origami. Sebuah kapal kertas tercipta dan kami lepaskan ia berlayar di pinggir jerambah.
Anak menakanku menatap kapal itu dengan mata beningnya, memerhati ia dihanyutkan arus ke batas pandangan. Dia masih terlalu kecil untuk mengerti. Lidahnya belum fasih menuturkan bait kata. Namun suatu hari nanti, apabila dia sudah bersedia, akan kuceritakan seluruh hikayat parit ini kepadanya.
“Hei Andot, mengasuh budak ye?”
Suara Pak Syukor pula menyapa dari arah belakang. Dia berdiri memegang batang pancing. Aku sekadar mengangguk dan tersenyum.
“Orang di hulu tidak lagi memelihara babi dan membuang sampah sesuka hati ke dalam parit ini,” kata Pak Syukor sambil merenung permukaan air.
“Ya, pakcik. Tapi kita tidak boleh alpa. Perlu terus dipantau,” balasku.
“Kerajaan sudah mengharamkan kawasan itu. Tragedi lalu mengajar mereka dengan kearifan yang mahal,” tambah Pak Syukor.
Aku menyambung, “Yang selamat pun hidup dalam bayang kecacatan. Ada yang sehingga hari ini gementar apabila terdengar dengusan babi. Parut mentalnya tidak pernah sembuh.”
“Hulu itu mengambil masa bertahun-tahun untuk mengikis gelaran ‘kampung hantu’,” desah Pak Syukor.
“Pengajaran ini dibayar dengan harga nyawa. Kita tidak boleh membina ladang berimpak tinggi di celah penempatan manusia tanpa zon penampan dan kebersihan yang ketat.”
“Benar, pakcik. Dulu mungkin orang mengira baunya sekadar gangguan angin. Namun apabila alam dicemari dan ekosistem dirabakkan, ia menjadi bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.”
Pak Syukor tertawa kelat. “Hari ini bau kohong yang singgah di tingkap. Esok lusa, keranda yang diusung keluar. Keuntungan ekonomi tidak ada harganya jika ditukar dengan nyawa manusia.”
“Dalam soal kesihatan awam, tiada kompromi atau ‘lesen sementara’. Apabila wabak sudah meluas, air mata darah sekalipun tidak dapat memulangkan mereka yang telah pergi,” tegasku.
Pak Syukor melangkah ke pangkal titi kayu, lalu berhenti di celah banir pokok rengas. Dia membuka bungkusan daun pisang, mencangkuk sepotong cacing pada mata kail, lalu melemparkannya ke tengah riak. Plung! Bulatan air membesar, mengalun lembut sebelum kembali tenang.
Anak menakanku menarik-narik lengan bajuku, menunjuk ke arah pokok keriang dot. Dia mula membuka bajunya, teruja mahu terjun ke dalam parit. Aku terkekeh kecil lalu menahannya. Seumur hidupku – hampir suku abad – aku sendiri belum pernah membasah tubuh di dalam parit ini.
Kami menghampiri Pak Syukor semula. Pelampung gabusnya tenggelam timbul dicuit ikan. Dengan tenang dia menaikkan pancingnya; seekor puyu mengepak-ngepak sebelum dimasukkan ke dalam kampit mengkuang.
“Air ini sudah jauh lebih baik, walaupun belida dan haruan belum sepenuhnya kembali,” gumam Pak Syukor.
“Mengapa kita tidak cadangkan mereka melepaskan benih ikan di sini? Bukankah itu sebahagian daripada janji pulihara?” ujarku.
“Kenapa perlu tunggu mereka? Kita sendiri boleh lakukan,” balas Pak Syukor bersahaja, disusuli tawa kecil kami berdua.
Anak menakanku yang tidak memahami perbualan itu melemparkan sehelai daun kering ke air. Parit ini tidak lagi legam berbekas minyak, walaupun belum sepenuhnya ‘jernih berkaca’ kerana dasar lumpur tuanya masih memerlukan waktu untuk dibilas arus zaman.
“Bagaimana pakcik yakin mereka tidak akan mengulangi kesilapan lalu?” Soalku pula.
“Jika ikan di sini mula berkurang atau mati, itu tandanya racun kembali mengalir,” Pak Syukor tersenyum sinis. “Dan jika itu berlaku, kita akan bergerak beramai-ramai ke hulu.”
“Andot, mandi!” Jerit anak menakanku sambil cuba melepaskan kasutnya.
Aku segara melompat dan membisikkan kata pujukan ke telinganya. Hari ini, tugasku hanyalah memperkenalkannya kepada alam kampung ini: pada bau belukar karamunting, warna bunga merawan, pokok paku rawan, buah para, ara lempung, keriang dot, serta tarian burung tiak dan sinar matahari pagi. Kelak, apabila parit ini benar-benar sembuh, aku sendiri yang akan menggenggam tangannya untuk berenang di lubuk yang paling dalam.
Raut wajahnya muram, menyimpan pemberontakan kecil anak muda. Aku tersenyum, menyuapkan sebiji gula-gula ke mulutnya. Dengan pantas, jemari kecilnya mencampak bungkusan plastik gula-gula itu ke dalam aliran air. Plastik itu hanyut.
“Hei, jangan membuang sampah ke dalam parit!” Tegur Pak Syukor dari jauh.
Anak menakanku hanya terkebil-kebil, mungkin tidak mengerti batas salah dan betulnya.
“Pakcik Syukor, malam nanti saya singgah ke rumah,” kataku meminta diri.
“Datanglah. Nanti kupanggil Mardin, Pak Mingkat, Sunar, dan Iwin sekali.”
“Ajak Salir sekali. Kami pulang dulu!” Aku memimpin jemari kecil anak menakanku, memujuknya dengan janji gula-gula tambahan di kedai nanti.
Malam makin merambat tua apabila aku melangkah keluar dari rumah Pak Syukor. Di sana tadi, kami bermesyuarat – menilai kemajuan pembersihan di hulu. Orang-orang di hulu kini telah membuat lubang sampah, menghentikan sisa kumbahan kotor, dan berjanji memelihara ekologi yang pernah mereka musnahkan.
Di dalam kamar, kulihat anak menakanku telah nyenyak diulik mimpi.
Dada kecilnya berombak tenang. Suatu hari nanti, apabila fikiran dan bahasanya telah matang, aku tidak hanya akan menceritakan tentang parit yang kembali jernih ini. Aku akan menceritakan bahawa kejernihan ini bukan hadiah percuma daripada mereka yang berada di hulu, tetapi hasil keringat, ketegasan, dan keberanian orang-orang seperti Pak Mingkat dan Pak Syukor yang tidak pernah letih mempertahankan hak untuk bernafas dan hidup selamat.
Akan kuceritakan kisah ini padanya, setiap kali sebelum dia memejamkan mata.-UTUSAN









