Warga emas maut dalam kebakaran di Pasar Gok Kapor

Warga emas maut kebakaran rumah di Pasar Gok Kapor

MAYAT Kong Choo Hock dibawa keluar dari rumahnya yang terbakar di Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang warga emas sempat menyahut panggilan anak saudaranya yang cuba menyelamatkannya sebelum ditemukan maut selepas rumahnya di Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, terbakar malam tadi.

Mayat Kong Choo Hock, 66, ditemukan dalam keadaan terlangkup di bilik air tingkat bawah rumah dua tingkatnya pada pukul 9.10 malam.

Ahli keluarga mangsa, Wee Suey See, 49, berkata, dia yang tinggal di Pengkalan Chepa, bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat tersebut.

“Ketika sampai saya melihat kepulan asap di rumah berkenaan dan bomba sedang memadam api.

“Saya dimaklumkan, anak saudara mangsa mendengar letupan kecil di rumah itu dan bertindak mengetuk pintu lalu memanggilnya. Mangsa sempat menyahut sebelum suaranya tidak kedengaran selepas itu,” katanya.

Difahamkan, kira-kira pukul 8.30 malam sebelum kejadian, mangsa memasak untuk makan malam walaupun rumah berkenaan tidak mempunyai bekalan elektrik sejak beberapa tahun lalu.

Wee Suey berkata, mendiang tinggal bersendirian sejak berpuluh tahun lalu di rumah pusaka milik orang tuanya itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata,  mangsa ditemukan dalam bilik air pada pukul 9.10 malam ketika operasi pemadaman.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas asap ketika kebakaran itu,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×