KUALA LUMPUR: Bank yang menjadi saluran penerimaan wang hasil penipuan tidak seharusnya terlepas daripada tanggungjawab, terutama apabila transaksi mencurigakan dapat dikesan melalui sistem kewangan.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, penguatkuasaan terhadap penipuan dalam talian perlu melihat keseluruhan rantaian transaksi, bukan hanya memburu individu yang berperanan sebagai penipu.
“Kalau kita mahu hentikan kegiatan ini, kita tidak boleh hanya tangkap orang yang membuat panggilan atau menghantar mesej kepada mangsa.
“Kita perlu lihat keseluruhan rantaian bagaimana wang itu bergerak selepas mangsa ditipu,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said yang berpandangan bank penerima wang hasil penipuan juga perlu memikul tanggungjawab dalam menangani jenayah berkenaan.
Daniel berkata, bank perlu memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam menjejaki pergerakan wang daripada akaun mangsa kepada akaun penerima.
Katanya, setiap transaksi perlu dapat dikesan bagi menentukan sama ada wang berkenaan masih berada di Malaysia atau sudah dipindahkan ke luar negara.
“Bank mempunyai rekod transaksi. Jadi apabila berlaku laporan penipuan, maklumat mengenai laluan wang perlu diberikan sepenuhnya kepada pihak berkuasa supaya tindakan pantas boleh diambil,” tegasnya.
Beliau turut menggesa tindakan lebih tegas terhadap individu yang menyewakan akaun bank kepada sindiket penipuan kerana perbuatan itu boleh memudahkan kegiatan jenayah berkenaan.
“Kalau seseorang menyewakan akaunnya kepada scammer, dia juga perlu bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh biarkan alasan bahawa dia tidak tahu akaun itu digunakan untuk menutup segala perkara,” ujarnya.
Daniel berkata, kerjasama rentas negara juga perlu diperkukuh melalui Interpol bagi membolehkan wang yang dipindahkan ke luar Malaysia dijejaki dan tindakan diambil terhadap pihak yang terbabit.
“Kalau wang itu pergi ke Thailand atau negara lain, kerjasama antarabangsa perlu digunakan untuk menjejaki alirannya.
“Negara yang menerima wang itu juga perlu membantu mengenal pasti pemilik akaun dan pihak yang menyewakan akaun kepada sindiket,” katanya.
Mengulas cadangan supaya hukuman terhadap pesalah penipuan diperberat, Daniel berpandangan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda lebih tinggi wajar dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hukuman berat sahaja tidak memadai sekiranya saluran kewangan yang digunakan sindiket masih mudah dieksploitasi.
“Jangan hanya tanya kenapa mangsa terpedaya.
“Kita juga mesti tanya bagaimana wang itu boleh bergerak begitu pantas, siapa yang menerima dan siapa yang membolehkan akaun digunakan.
“Di situlah akauntabiliti sebenar perlu bermula,” tegasnya-UTUSAN










