‘Kamu fikir orang UMNO ini boneka kamu?’ - Akmal Saleh - Utusan Malaysia

‘Kamu fikir orang UMNO ini boneka kamu?’ – Akmal Saleh

MUHAMMAD Akmal Saleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) diminta melupakan hasrat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau tidak sabar mahu berdepan PH dalam pilihan raya berkenaan.

“Pakatan Harapan, selepas ini kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka. Lupakanlah hendak bersama dengan Barisan Nasional, lawanlah di semua kerusi.

“Saya memang tidak sabar mahu melawan Pakatan Harapan di kesemua kerusi di Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Dr. Muhamad Akmal berkata, PH boleh terus mengutuk UMNO dan kepemimpinan parti itu selepas tewas di Johor serta Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, pihak berkenaan (PH) tidak sepatutnya mengharapkan kerjasama selepas mengutuk UMNO dan barisan kepemimpinannya.

“Kamu sudah mengutuk saya dan kepemimpinan saya, kemudian mahu datang dan bersama dengan saya. Kamu fikir orang UMNO ini boneka kamu?” katanya.

Tambah beliau, perjuangan UMNO bukan semata-mata untuk mendapatkan pencalonan atau memenangi pilihan raya.

Sebaliknya beliau berkata, perjuangan parti itu mempunyai misi dan maruah yang perlu dipertahankan.

“Saya masuk UMNO bukan kerana mahu menjadi calon. Saya menyertai UMNO kerana bersama-sama rakan seperjuangan, kita percaya inilah wadah untuk mempertahankan Melayu dan Islam.

“Pemuda UMNO tidak akan gentar menghadapi cabaran dan bersedia melawan perkara yang dianggap menjejaskan perjuangan parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×