Peguam Undang dakwa MB tandatangan proklamasi secara rela

Peguam Undang Yang Empat dakwa MB tandatangan proklamasi secara rela

MOHD. Khairul Azam Abdul Aziz (tengah) semasa sidang akhbar di Seremban, Negeri Sembilan hari ini. -UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada paksaan atau tekanan diberikan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi menandatangani Surat Cara Proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 3 Ogos lalu.

Peguam yang mewakili Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, perkara itu berlaku di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada malam berkenaan yang turut dihadiri peguam Ismail, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.

Katanya, sebelum menandatangani proklamasi itu, Ismail telah diberikan penerangan mengenai instrumen berkenaan termasuk alasan pemecatan Tuanku Muhriz serta keperluan tandatangan Menteri Besar berdasarkan Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UTKNS) 1959.

“Selepas diperjelaskan alasan-alasan pemecatan Tuanku Muhriz, Datuk Ismail Lasim telah bersetuju menandatangani proklamasi pemecatan berkenaan dengan kehadiran peguam beliau, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.

“Kami menyatakan bahawa Menteri Besar telah bertindak menandatangani proklamasi bertarikh 3 Ogos 2026 itu secara rela hati dan tanpa paksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Khairul Azam berkata, peguam Ismail juga sentiasa bersamanya sepanjang majlis berkenaan serta mengetahui proses yang berlaku sebelum dokumen itu ditandatangani.

Menurutnya, dakwaan Ismail bahawa beliau menandatangani proklamasi berkenaan kerana dipaksa adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought).

Beliau berkata, tiada ketegangan yang berlaku pada malam tersebut malah santai  memandangkan ketika itu Ismail baru dilantik sebagai Menteri Besar.

Jelasnya, pada hari itu Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong hadir kira-kira pukul 8 malam bagi majlis makan malam bersama Tunku Nazarudin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

“Selepas jam 10 malam, Menteri Besar sampai dan makan bersama sebelum majlis mengadap diadakan.

“Pada malam itu, tiada ketegangan atau keadaan yang boleh dikatakan memberi tekanan kepada Menteri Besar. Suasananya santai dan terdapat ucapan tahniah kerana beliau baru dilantik sebagai Menteri Besar,” katanya.

Mohd. Khairul berkata, dalam pertemuan itu, Undang Yang Empat turut memberikan restu terhadap pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 serta mendoakan kepimpinan baharu negeri dapat memulihkan krisis adat di negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya turut menerangkan kepada Ismail mengenai keputusan Undang Yang Empat memecat Tuanku Muhriz melalui proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dibuat menurut Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Apabila Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Besar, pada kami tanggungjawab perlembagaan beliau telah dilaksanakan mengikut Perkara 10(1)(b),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan tiada pemimpin UMNO yang hadir pada majlis berkenaan seperti didakwa dalam satu laporan berita baru-baru ini.

Oleh itu, satu laporan polis berhubung isu berkenaan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban kira-kira pukul 2 petang hari ini.

Sementara itu, Mohd. Khairul berkata, tiada keperluan di sisi undang-undang untuk mendedahkan alasan pemecatan Tuanku Muhriz kerana perkara itu merupakan urusan Undang Yang Empat.

“Seboleh-bolehnya perkara itu tidak didedahkan demi menjaga aib semua pihak. Hanya beberapa orang yang mengetahui perkara itu dan mereka telah mendengar, berpuas hati serta melaksanakan tanggungjawab perlembagaan masing-masing pada malam berkenaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Ismail  mendakwa dirinya telah dipaksa untuk menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.

Ismail dilaporkan berkata, sehubungan itu laporan polis berhubung perkara itu turut dibuat kira-kira pukul 6 petang Selasa lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×